Sunday, October 25

Pencemaran Udara (Jerebu)

Cik Hani | 13:48 | 1Comments |

ASSALAMMUALAIKUM....



Pencemaran udara menjejaskan kualiti udara. Jerebu merupakan satu fenomena akibat pencemaran udara yang berlaku. Jerebu disebabkan oleh zarah-zarah terampai di dalam atmosfera. 
Masalah jerebu dan kemerosotan kualiti udara adalah manifestasi perbuatan manusia sendiri dan masalah ini boleh memberikan kesan yang memudaratkan.
Punca jerebu akibat perbuatan manusia

1. Pembakaran bahan api/fosil dalam aktiviti hidup manusia menyebabkan berlaku jerebu. Pembakaran bahan api seperti minyak dan gas oleh kenderaan bermotor menyebabkan pelepasan asap, karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida serta habuk dan jelaga. Bahan-bahan ini terampai di ruang atmosfera dan menjadi penebat kepada sinar cahaya matahari.

2. Pembakaran secara terbuka juga menyebabkan berlaku jerebu. Pembakaran bahan-bahan buangan di tapak pembinaan, jerami di kawasan sawah padi dan sisa-sisa pertanian menyebabkan jelaga dan asap tebal. Pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah melepaskan asap dan gas ke ruang atmosfera. Kaedah membakar terus hutan pada musim kemarau menyebabkan masalah jerebu semakin rumit.

3. Kegiatan meneroka hutan menyebabkan pokok-pokok ditebang juga menyumbang kepada masalah jerebu. Kegiatan penebangan hutan dan kerja-kerja pembersihan pokok-pokok untuk tapak perindustrian dan pertanian. Penebangan hutan menyebabkan bilangan pokok semakin merosot, oleh itu kadar penyerapan gas karbon semakin berkurangan. Gas karbon yang berlebihan akan terampai di ruang atmosfera menyumbang kepada kejadian jerebu.

4. Kegiatan perlombongan kuari dan perkayuan juga menyebabkan kejadian jerebu. Kegiatan ini menyebabkan pelepasan asap, karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida serta habuk dan jelaga.

Punca kemerosotan kualiti udara

1. Pembuangan sisa domestik secara tidak sistematik akan menjejaskan kualiti udara. Pembuangan air kumbahan yang berbau busuk menyebabkan udara kualiti udara terjejas.

2. Kegiatan pertanian dan penternakan juga menjejaskan kualiti udara. Penggunaan baja dan bahan semburan yang berlebihan seperti racun menjejaskan kualiti udara dan memudaratkan kesihatan. Ladang ternakan haiwan menyebabkan kualiti udara terjejas dengan najis haiwan.

Kesan jerebu dan kemerosotan kualiti udara

1. Jerebu dan udara yang tercemar akan menjejaskan kesihatan dan menyebabkan penyakit. Gangguan terhadap kesihatan manusia akan berlaku walaupun ada usaha untuk menapis debu atau habuk daripada memasuki rongga badan. Debu dan habuk boleh menjejaskan sistem pernafasan dan menyebabkan penyakit seperti lelah, radang paru-paru atau bronkitis, selsema dan batuk. Mata menjadi berair dan rengsa serta terasa pedih dan kulit menjadi gatal.

2. Jerebu dan kemerosotan kualiti udara boleh menyebabkan ketidaksuburan dan kecacatan bayi. Wanita yang terdedah dengan bahan kimia seperti benz(a)antracin, benzoa(a)pirin, benzo(j)fluorantin, indenol(1,2,3-c,d)pirin dan lain-lain semasa jerebu boleh menyebabkan ketidaksuburan. Ovari juga terjejas dan mempercepatkan menopause. Bahan-bahan tersebut juga boleh merosakkan kromosom dalam sistem pembiakan dan seterusnya menyebabkan kecacatan pada bayi.

3. Jerebu dan kemerosotan kualiti udara juga boleh menjejaskan sektor pertanian dan perhutanan. Jerebu menjejaskan proses fotosintesis. Bahan klorofil akan hilang, tisu daun akan musnah. Fenomena hujan asid akan berlaku yang akan menjejaskan tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan mengalami masalah pertumbuhan terbantut yang akan menjejaskan pengeluaran hasil.

4. Jerebu akan menjejaskan hidupan akuatik. Jerebu menyebabkan jumlah cahaya matahari yang sampai kepada tumbuhan laut berkurangan. Hidupan seni (plankton) yang menjadi makanan ikan akan mati. Hujan asid berpunca dari jerebu akan menyebabkan air tercemar, hidupan akuatik akan mati.

5. Jerebu menyebabkan kesan rumah hijau. Partikel terampai di udara akan menyerap haba seterusnya menghalang pembebasan haba ke atmosfera. Hal ini menyebabkan peningkatan suhu atmosfera.








SUMBER: FB








1 comment:

  1. salam singgah....info yg menarik...done follow sini....

    ReplyDelete