Friday, December 5

5 Tip Berkesan Simpan Duit Beli Rumah Idaman

Cik Hani | 12:58 | 0Comments |



Harga rumah yang semakin melonjak-lonjak kini terutama di bandar-bandar besar sedikit sebanyak mematahkan semangat kita untuk memiliki rumah apatah lagi dengan beban kehidupan yang semakin menghimpit serta menekan kita.  Setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga pasti menginginkan kehidupan yang selesa di samping yang tersayang. Memiliki kediaman impian akan memudahkan kehidupan anda berdua.

Tidak perlu sebesar banglo mahupun kondominium, cukuplah kediaman yang selesa yang pasti membuatkan anda berdua lebih sempurna. Namun, memiliki rumah sendiri tidak semudah yang disangka. Lebih menyakitkan apabila dihimpit dengan masalah kewangan yang tidak disangka-sangka dan perkara seperti ini pasti menyukarkan anda berdua untuk memiliki rumah sendiri. Ikuti beberapa tip berkesan dalam mengumpulkan duit untuk membeli rumah impian!

1. Pendapatan tetap
Sebelum anda berangan-angan untuk memiliki rumah sendiri, pastikan anda sudah memiliki pendapatan tetap setiap bulan. Semak aliran keluar masuk kewangan anda. Adakah anda masih mempunyai baki yang mencukupi untuk membuat simpanan atau nilainya negatif? Jika tidak, cari pekerjaan yang lebih baik terlebih dahulu atau mulakan satu bisnes yang menjanjikan keuntungan untuk anda.

2. Tentukan matlamat
Tentukan matlamat anda sebelum anda membeli rumah. Sebagai contoh jika anda merancang ingin membeli rumah pada tahun berikutnya, cuba tetapkan jumlah simpanan yang anda mampu simpan. Sebagai contoh, jika jumlah baki gaji anda selepas ditolak komitmen sebanyak 1500, cuba tolak separuh dari baki tersebut ke dalam akaun simpanan anda. Tetapkan berapa lama anda ingin menyimpan. Tidak salah berjimat, kerana anda juga yang akan merasai keselesaannya di kemudian hari.

3. Buat senarai perbelanjaan
Cara paling senang dilakukan adalah dengan membuat senarai perbelanjaan. Mungkin sebelum ini anda dan pasangan tidak mengendahkan tip mudah ini, namun selepas ini apa salahnya anda mencuba. Langkah seperti ini sebagai tindakan awal untuk mengenali pola perbelanjaan anda dan pasangan supaya anda lebih bijak berbelanja.

4. Jangan tangguh pembayaran bil
Masalah seperti ini sangat sukar dibendung oleh segelintir masyarakat kita. Jangan jadikannya satu tabiat kerana ia pasti akan berlarutan sampai bila-bila. Di awal perkahwinan, jangan sesekali menangguhkan pembayaran bil, pastikan segala hutang-hutang dan bil dibayar terlebih dahulu sebelum anda merancang untuk berbelanja ke arah sesuatu yang lain. Sekiranya masalah ini terjadi, bebanan hutang anda pasti akan lebih banyak dan meningkat. Tanamkan sikap tidak menanguhkan pembayaran bil agar ia tidak merosakkan kewangan anda dan pasangan pada masa akan datang.

5. Disiplin
Mungkin agak sukar untuk merancang kewangan dan menyimpan di awal perkahwinan. Namun, jika dipraktikkan dengan baik pasti tidak sukar. Elak berbelanja benda yang tidak perlu dan boros! Lakukan penyimpanan secara perlahan-lahan supaya anda berdua lebih tahu menghargai duit dan ingat jangan sampai anda jadi kedekut!

Adakah anda?
·         Memiliki pinjaman jangka panjang sepeti pinjaman kereta?
·         Mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk wang pendahuluan? ( Kos guaman, duti setem dan sebagainya)
·         Memahami kos-kos terlibat sepeti kos pembaikan dan penyelenggaraan, cukai tanah, bil utiliti dan sebagainya?
·         Mempunyai insuran nyawa untuk membiayai pinjaman perumahan dan perbelanjaan keperluan rumah sekiranya berlaku kematian?

JIKA YA!
Anda layak mempunyai rumah sendiri.
JIKA TIDAK!
Anda perlu berusaha lebih gigih untuk mengatasi masalah tersebut dan pastikan anda benar-benar bersedia untuk memiliki rumah baru kelak!




Sumber: majalah pengantin july 2014

No comments:

Post a Comment