Wednesday, November 19

Tunduk dalam Keadaan Malu dan Hina - Reaksi Orang-orang Yang Berdosa

Cik Hani | 10:57 | 0Comments |
Catatan untuk muhasabah diri. Allah SWT 

memberi pelbagai gambaran bagaimana reaksi orang-orang yang berdosa ketika berhadapan dengan Allah SWT kelak. Antaranya mereka tunduk dalam keadaan malu dan hina sambil membuat rayuan.


Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".(As-Sajdah 32:12) 

Orang-orang yang berdosa menundukkan kepala kesan daripada kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Orang yang angkuh dan sombong semasa berada di dunia akan tunduk malu bila berada di akhirat sebaliknya orang-orang yang tawadhuk serta rendah diri akan terangkat kepalanya di akhirat. 

Saidina Umar Ibnul Khattab pernah berkata; "Wahai manusia! hendaklah kamu merendah diri kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya" - Hadis Riwayat Abu Nuaim 

Di akhirat kelak, kepada orang-orang yang berdosa mereka akan diperlakukan sebagaimana tabiat dan kelakuan mereka semasa berada di dunia. Mereka yang Allah tundukkan kepala di akhirat ialah kesan daripada apa yang mereka pernah lakukan di dunia. 

Firman Allah SWT:



Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.(Hud 11:5)

Dalam ayat di atas, Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa orang-orang yang mendengar apa yang disampaikan nabi itu menundukkan/membongkokkan badan mereka/tidak mahu memandang Rasulullah SAW kerana mereka enggan mendengar apa yang disampaikan oleh nabi. Pada hal Rasulullah menyampaikan perkara-perkara yang boleh membawa mereka ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Samalah juga Firman Allah SWT di bawah:


(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya; (Al-Qalam 68:42)  Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.(Al-Qalam 68:43)

Pada hari itu, di hadapan pengadilan mereka (orang-orang yang tidak beriman) dibentak supaya sujud tetapi  mereka tidak dapat melaksanakan perintah itu kerana bukan masanya lagi untuk bersolat di akhirat. Semasa mereka berada di dunia mereka tidak pernah solat dan tidak mahu menerima ajaran Rasulullah SAW.

Di akhirat kelak, azab yang mereka akan terima adalah sesuai dan serupa dengan apa yang mereka lakukan semasa berada di dunia sebagaimana orang-orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak menginfakkan ke jalan Allah.



Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (At-Taubah 9:34) (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda/apa yang mereka simpan ) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar / diseterika dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah 9:35)

Perhatikan bahawa gambaran dalam ayat di atas seakan-akan gambaran yang pernah dilakukan oleh seseorang yang susah untuk memberi apabila didatang seseorang yang meminta. Mereka mengerutkan dahi, memasamkan muka dan berpaling meninggalkan peminta tanpa memikirkan perasaan peminta. 

Apakah yang akan dilihat oleh golongan yang berdosa ini? Mereka akan melihat Allah SWT yang tiada sekutu bagiNya dan tidak akan penolong yang akan menolong serta tiada pemberi syafaat selain Allah SWT. Ketika itu segala pengakuan sudah tidak berguna lagi. 

Begitu jugalah yang berlaku terhadap Firaun yang membuat pengakuan sebelum dia ditenggelamkan.


Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus 10:90) Lalu Allah menjawab: "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.(Yunus 10:91)

Pengajaran: 

  • Al-Quran memberikan gambaran apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang berdosa apabila datangnya hari Kiamat. Betapa sukarnya apabila tiada berbekalkan iman dan amal soleh apabila sampai masa bertemu dengan Allah SWT. 
  • Setiap kelakuan jahat di dunia akan dibalas setimpal di akhirat nanti. Sambil disiksa, orang-orang yang berdosa itu juga menerima tempelakan daripada malaikat. 
  • Mudah-mudahan menambahkan rasa bimbang kita kepada saat yang akan tiba, tiada berguma lagi harta dan anak pinak kecuali membawa hati yang sejahtera.

No comments:

Post a Comment