Wednesday, November 19

Beramallah Dengan Ikhlas Semata-mata Kerana Allah SWT

Cik Hani | 01:05 | 2Comments |

Setiap amalan yang hendak dilaksanakan mestilah ikhlas kemata-mata kerana Allah SWT. Allah SWT. tidak akan memandang sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana riyak atau untuk mendapat pujian daripada manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa beramal kerana riyak, Allah akan menolak amal itu pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Allah SWT berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu'." (Hadis Riwayat Muslim).

Dari hadis yang lain Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Barangsiap mempelajari ilmu yang seharusnya untuk mencari redha Allah (namun) ia tidak mempelajarinya, kecuali untuk mendapatkan perhiasan dunia, sungguh ia tidak akan mendapatkan baunya syurga pada hari Kiamat." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nilai sesuatu amal itu bukanlah bergantung kepada banyak atau sikitnya amal kita, tetapi ia bergantung kepada niat dan matlamat sesuatu amal itu. Sekiranya banyak dan hebat tetapi apabila dihisab dihadapan Allah s.w.t. dihari akhirat nanti dan didapati tidak ikhlas dan ada matlamat-matlamat duniawi yang lain maka keseluruhan amal itu akan ditolak.

Tidak ada kerugian yang lebih besar melainkan manusia yang mati membawa amalan yang banyak dan hebat, tetapi ianya tidak dapat membantunya malahan menjadi bencana besar kerana dirinya dihumbankan kedalam api neraka.

Untuk mendapat ikhlas bukan suatu yang mudah, ianya perlu kepada proses tarbiah yang berterusan. Hati ini setiap hari perlu dibajai dan disirami dengan kisah-kisah siksaan dihari akhirat, perkara-perkara yang dimurkaia Allah SWT dan balasan-balasan yang Allah SWT timpakan pada umat-umat yang terdahulu yang menderhakai Allah SWT. didunia dan akhirat seperti kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran.Hati ini perlu kepada majlis ilmu dan peringatan dan nasihat.

Apakah sebabnya Iblis telah dilaknat oleh Allah SWT.dan akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam? Sedangkan sebelum itu dia menjadi ketua dikalangan jin dimuka bumi ini, dan amal ibadahnya telah mencecah ribuan tahun, tetapi oleh kerana dia riyak, bongkak, sombong, angkuh, takbur dan membanggakan diri sendiri dan engan menurut perintah Allah SWT untuk sujud (menghormati) Nabi Adam a.s. maka Allah SWT. telah murka dan akan menghumbankannya ke dalam Neraka Jahanam untuk selama-lamanya.

Sesungguhnya sesiapa yang beramal untuk mencari keredhan manusia atau ia membuat sesutu kerana ujub dan riya' maka sebenarnya ia sedang mengikut hawa nafsu dan sedang mengikut telunjuk syaitan. Syaitan akan bekerja siang malam untuk merosakkan amal anak Adam supaya tidak diterima oleh Allah SWT.

Didalam hadis ada diceritakan bahawa terdapat tiga kumpualan manusia, masing-masing mempersembahkan amalan masing-masing dihari akhirat nanti berhadapan dengan Allah SWT . iaitu kumpulan mati syahid, kumpulan alim-ulama dan kumpulan dermawan. Ketiga-tiga kumpulan tersebut ditolak oleh Allah SWT. kerana amalan soleh yang mereka dibuat adalah kerana untuk mendapat sanjungan dan pujian manusia.

Untuk kumpulan pertama Allah berfirman yang bermaksud," Kamu bohong, kamu berperang supaya kamu dikatakan pemberani (pahlawan)."

Untuk kumpulan kedua Allah berfirman yang bermaksud, "Kamu bohong, kamu belajar ilmu supaya dikatakan alim (pintar) dan membaca al-Qur'an supaya kamu dikatakan qari."

Untuk kumpulan ketiga Allah berfirman yang bermaksud, "Kamu bohong, kamu melakukan itu supaya dikatakan dermawan."

Perbetulkanlah niat-niat kalian jangan ada walau sedikit pun niat dalam hati untuk mendapat pujian sesiapa. Buatlah amalan soleh sebanyak-banyaknya semata-mata kerana Allah SWT Jika kalian menderma untuk menjaga hati supaya tidak riyak mendermalah secara bersembunyi-sembunyi.

Jika kalian berpakaian dan berhias diri janganlah ada terdetik dihati kalian supaya rakan-rakan memuji kalian kerana memakai pakaian berjenama dan merasa megah dengan pakaian tersebut. Berpakaianlan untuk menutup aurat dan dibuat semata-mata kerana menurut perintah Allah.

 Janganlah berbangga dengan ijazah dan kelulusan yang dimiliki dan merasa ahli keluarga dan saudara mara kita tidak sehebat apa yang kita miliki, apalahlah ada pada segulung ijazah ianya tidak boleh dibawa kekubur untuk membantu menjawab soalan malaikat Munkar dan Nangkir. Waullahualam.

2 comments: