Saturday, October 18

Mencari Sebuah Kesempurnaan

Cik Hani | 00:12 | 0Comments |

Tidak ada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah. Kekurangan adalah sifat makhluk. Kitalah makhluk. Maka kita perlu menerima bahawa kita banyak kekurangan.Tidak mampu kita menjadi sempurna untuk orang lain dan kita juga tidak boleh mengharapkan kesempurnaan orang lain. Jika kita merasakan bahawa kita sudah sempurna, selamanya kita tidak akan pernah memperbaiki kekurangan sendiri atau menerima kekurangan orang lain.
Rasulullah s.a.w. adalah makhluk terbaik yang Allah ciptakan. Namun, baginda s.a.w. sendiri tidak pernah merendahkan orang lain dan takabbur dengan kehebatan yang dianugerahkan Allah.

Ya, sekali pandang kita rasa bahawa kita yang terbaik. Apabila kita mengubah sudut pandang, akan ternampaklah lompang-lompang yang terdapat pada diri kita.

Cahaya lampu nampak hebat tatkala ia menerangi kegelapan malam, namun menjadi tidak bernilai ketika mentari mula memberikan cahayanya. Pada malam hari ia diperlukan, pada siang hari ia tidak bermakna lagi.

Itulah sifat ciptaan. Seorang ahli agama boleh berbicara tentang ilmu keagamaan sehinggakan orang akan terpegun mendengarnya. Namun kehebatannya tidak sama apabila dia berbicara tentang bidang-bidang lain yang bukan kepakarannya.

Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita dan terimalah kekurangan orang lain. Berfikirlah untuk menampung kekurangan-kekurangan tersebut, bukan menidakkannya. Begitu juga keadaannya dalam mencari teman hidup. Jangan kita terlalu mengharapkan teman yang sempurna sedangkan kita sendiri banyak lompangnya.

Sebelum berumahtangga, kekurangannya kita buat-buat tidak nampak. Yang nampak hanya kecantikannya. Namun, segalanya berubah setelah berumahtangga. Kita mula merungut akan kekurangan-kekurangannya. Itulah akibat apabila kita mengidamkan kesempurnaan pada makhluk.

Ada sebuah kisah perumpamaan. Seorang guru memberi arahan mudah kepada muridnya ketika mereka sedang melalui sebuah lorong yang di sebelah kiri dan kanan lorong tersebut terdapat bunga-bunga indah.

“Sepanjang perjalanan kita ini, petiklah sekuntum bunga yang paling cantik dan memuaskan bagimu. Apabila kita sampai di hujung nanti, kita tidak boleh berpatah balik.”

Maka merekapun berjalan menyusuri lorong tersebut. Murid tersebut ternampak sekuntum bunga yang indah dan cantik, namun hatinya berbisik, “Di depan pasti ada yang lagi cantik.”

Lalu mereka terus berlalu. Beberapa bunga yang dilihatnya, tetap juga tidak dipetik.

“Ada kurang sikit lah pada bunga ni.”

Berjalan dan terus berjalan, akhirnya tidak satupun bunga dipetik ketika sampai di hujung lorong sedangkan dia tidak dapat berpatah balik.

Gurunya lantas berpesan, “Itulah ibaratnya jika mencari kesempurnaan pada makhluk.”

Mengakui kekurangan adalah langkah awal untuk memperbaikinya. Kita harus jujur dalam meneliti kekurangan-kekurangan yang ada pada diri. Orang yang hebat bukannya tidak punya kekurangan, tetapi mereka cepat sedar akan kekurangan-kekurangan tersebut dan berusaha memperbaikinya. Semakin banyak kekurangan, semakin banyak usaha memperbaiki. Maka merekapun menjadi semakin baik dari sehari ke sehari. Begitulah sifirnya.

Orang yang mencari kesempurnaan makhluk pasti akan selalu mengeluh, kerana kekurangan-kekurangan yang akan dia dapatkan. Mana tidaknya, kita mengharapkan sesuatu yang mustahil. Tentulah kita tidak akan berjumpa dan lebih banyak mengeluh.

Sebaliknya, orang yang mengakui kekurangan makhluk akan sentiasa bersangka baik dan tidak merendahkan orang lain. Dia juga sedar bahawa dirinya sendiri banyak kekurangan. Apabila kita melihat perbezaan ini, sedarlah kita akan bahaya mencari kesempurnaan makhluk.

Berusahalah menjadi lebih baik setakat batas kemampuan manusia. Insya-Allah, hati akan lebih tenang dan redha.

No comments:

Post a Comment