Saturday, October 18

Berlapang Dada

Cik Hani | 00:21 | 0Comments |


Allah menciptakan manusia dengan 1001 design luaran yang sememangnya berbeza, tidak ada satu pun yang sama antara satu sama lain. Pasti ada bezanya, walaupun sedikit. Sekalipun pasangan kembar yang hampir sama, tetapi masih tidak serupa.

Itu daripada segi luarannya yang kelihatan, bagaimana pula soal pemikiran dan perasaan? Soal persepsi dan sudut pandang? Sudah tentu ada bezanya. Kalaupun tidak banyak, sedikit. Ust. Pahrol Mohd Juoi (Ketua Editor Majalah Solusi) pernah berkata dalam satu ceramah, “biarpun kita berbeza, tetapi tidak bertentangan”.

Berasa Diri Paling Betul
Dalam membincangkan sesuatu isu, mungkin ada pendapat kita yang berbeza. Perbezaan itu adalah sesuatu yang biasa berlaku dan dibolehkan selagi tidak menyalahi persoalan asas akidah yang sememangnya tidak ada percanggahan seperti Allah itu Esa, Muhammad s.a.w. itu Rasulullah yang terakhir, dan lain-lain lagi.

Antara dua pendapat yang dikeluarkan oleh dua pihak, kemungkinan kedua-duanya betul dan tidak salah. Masalah akan timbul apabila ada satu pihak merasa paling betul dan terus menyalahkan pihak lain atas dasar emosi, tanpa landasan yang kukuh.

Contohnya dalam mendidik anak-anak mengaji al-Quran, ada yang kata guna Muqaddam lebih efektif, ada yang kata guna Iqra’ lebih berkesan. Jadinya, adakah antara salah satu cara itu yang salah? Apa akan berlaku apabila salah satu pihak menyalahkan yang lain?

Tidak perlu. Teruskanlah dengan apa yang kita yakini selagi tidak lari daripada tujuannya, supaya anak-anak boleh membaca al-Quran.
Contoh lain, kita sering tidak berpuas hati dengan sesetengah sahabat atau kawan. Boleh jadi kerana ada beberapa perkara yang dilakukan oleh teman tersebut telah mengguris hati kita atau salah pada kaca mata kita. Mungkin juga pada pandangan kita, tidak patut dia buat begitu dan sepatutnya dia buat begini.

Tanpa sedar, perasaan itu mula membengkak dan bernanah di dalam hati dan menunggu masa untuk meletus. Seterusnya berlakulah pertengkaran dan perbalahan antara kita dan sahabat, walaupun dengan seorang teman rapat.

Dialog “kau tidak patut buat camtu”, “aku serabut tengok muka kau”, “takkan benda remeh pun nak kene ajar”, dan bermacam-macam lagi akan terpacul dengan penuh emosi. Kita menganggap pandangan kita betul. Teman kita pula melihat perbuatannya itu tidak salah.

Itulah epidemik yang melanda talian ukhuwwah dan persahabatan pada zaman ini. Apabila berhajat kepada sesuatu perkara yang sama, susah untuk kita mengorbankan keinginan kita untuk seorang sahabat. Apabila hati kita disakiti, susah untuk kita memaafkannya.

Kenapa perkara tersebut boleh terjadi? Kerana tiadanya sifat berlapang dada untuk menerima kelemahan sahabat dalam diri setiap manusia.

Berlapang Dada
أول القوة قوة الوحدة، ولا وحدة بغير حب، وأقلُّ الحب سلامةُ الصدر، وأعلاه مرتبةُ الإيثار
“Kekuatan pertama adalah kesatuan, dan tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Serendah-rendah kasih sayang (ukhuwwah) adalah berlapang dada, dan setinggi-tinggi kasih sayang (ukhuwwah) ialah martabat al-Ithar (mendahulukan kepentingan orang lain terhadap kepentingan peribadi).” [Hasan al-Banna]

Sekalipun jika satu pendapat itu mempunyai dalil yang kuat, tidak mustahil juga pendapat yang satu lagi turut mempunyai dalil yang tidak kurang hebat. Jadi, di mana titik pertemuannya agar pendapat-pendapat ini menjadi sesuatu yang sinergistik, bukan antagonistik?

Kekuatan itulah terletak pada berlapang dada. Apabila setiap orang yang berbeza pendapat sentiasa appreciate antara satu sama lain, maka pendapat-pendapat yang diberikan akan saling memperkuatkan dan menambah kepelbagaian dalam sudut pandang dan amalan. Walau bagaimanapun, masih lagi terikat pada dasar dan asas yang tidak bercanggah dengan prinsip asas akidah.

Kita mungkin terlalu hebat untuk mengakui pendapat orang lain juga ada betulnya. Kita mungkin menghafal 1001 dalil tentang pendapat yang kita yakini dan bila-bila masa saja boleh menolak pendapat orang lain dengan tanpa memberi ruang sedikitpun. Maka dengan itu kita merasa begitu taksub dengan pendapat kita, dan begitu anti kepada pendapat orang lain yang bertentangan.

Tapi ingat, tatkala kita rasa kita paling berjaya dalam mempertahankan pendapat kita, mungkin kita telah membuka ruang kepada perpecahan dan ada pihak yang akan bertepuk tangan. Untungnya pada siapa?

Bersatulah pada titik temu dan berlapang dadalah pada perbezaan pendapat. Bukan mudah untuk berlapang dada, tetapi adalah sesuatu yang nikmat apabila kita mampu melakukannya. Sesungguhnya, ada rahmah di sebalik perbezaan pendapat.

Anda mungkin tidak setuju dengan saya, bolehkah anda berlapang dada?

No comments:

Post a Comment