Tuesday, September 30

Sabar :)

Cik Hani | 14:38 | 2Comments |

Kota Madinah menjadi gempar dengan berita fitnah yang disebarkan oleh ketua kaum munafik, Abdullah bin Ubay. Fitnah mengenai Ummul Mukminin Aisyah RA akhirnya sampai ke telinga Rasulullah SAW. Apabila sampai berita tersebut kepada Aisyah RA sendiri, beliau menjadi sedih dan sakitnya semakin bertambah. Ibunya menguatkan jiwa Aisyah yang sedia parah itu dengan kata-kata, “Wahai anakku, demi Allah tabahkanlah hatimu! Sangatlah sedikit wanita yang cantik dan dicintai suaminya serta dimadu, pasti banyak yang akan menghasutnya.”

Selama sebulan Aisyah dirundung nestapa. Air mata kerap kali membasahi wajahnya dan tidak berhenti mengalir. Abu Bakar dan isterinya melihat anaknya berada dalam kesedihan yang begitu dahsyat. Pada suatu ketika, seorang wanita Ansar datang menemui Aisyah RA. Aisyah mengizinkannya masuk. Ketika itu, datanglah Rasulullah SAW menemui Aisyah RA.

Sabda Rasulullah SAW, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai ke telingaku berita mengenai dirimu. Sekiranya engkau bersih, maka Allah akan membersihkanmu dan jika engkau melakukan dosa, maka mintalah keampunan daripada Allah. Sesungguhnya seseorang yang mengakui dosanya kemudian bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.”


Kesabaran Aisyah Berbalas

Aisyah berkata kepada ayahnya, “Cubalah jawabkan untukku, wahai ayah.” Abu Bakar menjawab, “Apa yang mesti ayah katakan?” Lalu Aisyah berkata kepada ibunya, “Cubalah jawab perkataan Rasulullah untukku wahai ibu.” Ibunya bertanya, “Demi Allah, apa yang mesti aku katakan?” Tiada pilihan lain, Aisyah RA sendiri mesti menjawabnya.

Terdapat banyak riwayat mengenai jawapan Aisyah, namun dalam suatu riwayat, Aisyah RA menjelaskan, “Sekiranya aku mengakui bahawa aku melakukan sesuatu perbuatan padahal Allah mengetahui bahawa aku bersih dari perbuatan itu, pasti tuan akan mempercayai aku. Demi Allah, aku tidak mendapatkan sesuatu perumpamaan yang sejalan dengan peristiwa kita ini kecuali apa yang diucapkan oleh ayah Nabi Yusuf AS: “Maka hanya bersabar itulah yang terbaik (bagiku). Dan kepada Allah sahaja memohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.” (Surah Yusuf ayat 18).”

Jawapan yang diberikan Aisyah RA sungguh menyentuh kalbu. Apatah lagi, tatkala jiwa dahagakan kekuatan untuk menempuh ujian yang mendatang, kisah Aisyah RA menjadi pengubat duka dan lara. Ayat 18 Surah Yusuf yang disebutkan sungguh menenangkan jiwa yang resah, memperingatkan diri bahawa di sisinya masih ada Allah, Yang Maha Benar dan yang memberikan kekuatan.

Kesabaran Aisyah RA berbalas, apabila Allah SWT menurunkan ayat 11 Surah An-Nur bagi membersihkan Aisyah daripada tuduhan yang dilemparkan oleh Abdullah bin Ubay dan kaum munafik. Ketika turunnya ayat ini, Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah, “Bergembiralah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah telah membersihkanmu.” Maka ibu Aisyah berkata kepadanya, “Bangunlah dan menghadaplah kepadanya.”

Namun, Aisyah menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan bangun menghadap kepadanya, dan tidak akan memuji syukur kecuali kepada Allah yang telah menurunkan ayat yang menyatakan kesucianku.”


Ujian pada Penilaian Allah

Seringkali hidup kita tidak pernah renggang daripada liku-liku kesukaran. Setiap insan pasti akan diuji oleh Allah SWT. Namun, kadang-kadang, ramai yang begitu ringan lidah mereka mengatakan sesuatu yang keji ke atas orang yang diuji oleh Allah dengan musibah. Mereka beranggapan, orang yang ditimpa musibah itu ialah orang yang melakukan dosa besar dan dibenci oleh Allah.

Padahal, di dalam Islam, boleh jadi seseorang itu diuji dengan musibah bertujuan Allah SWT hendak menghapuskan dosanya yang silam. Berkemungkinan juga, Allah menguji seseorang dengan musibah dengan tujuan untuk menaikkan martabatnya di sisi Allah. Semua itu boleh dicapai dengan syarat kita bersabar dengan apa yang telah ditimpakan ke atas diri kita.

Betapa indahnya sabar. Dengan sabar Allah SWT menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu, dan mengampuni kita. Dengan sabar darjat kita tinggi di sisi Allah SWT. Dengan sabar juga kita memperoleh sesuatu yang lebih membahagiakan kita di akhirat berbanding di dunia yang sementara.


Al-Quran Perangsang Kesabaran

Maka benarlah firman Allah SWT:
“Dan mereka (saudara-saudara Yusuf) datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) darah palsu. Dia (Ya’kub) berkata, ‘Sesungguhnya hanya dirimu sendirilah yang memandang baik urusan yang buruk itu. Maka hanya bersabar itulah yang terbaik (bagiku). Dan kepada Allah sahaja memohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.’” (Surah Yusuf ayat 18)

Betapa indahnya Al-Quran, Allah mempersembahkan kisah para Nabi dan Rasul serta orang-orang yang soleh dalam menghadapi liku hidup dan rintangan. Dikisahkan dengan gaya bahasa yang indah, kisah yang dibawakan cukup membuat jiwa yang suram ini gembira. Juga, membuatkan akal yang hampir tunduk kepada nafsu sedar bahawa ini adalah ujian daripada Allah, tanda kasih sayang Allah kepadanya.

Demikian juga, Allah SWT meletakkan garis panduan dalam menghadapi ujian-Nya. Antaranya firman Allah SWT:
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang-orang yang sabar, (iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 155-157)

Demikian juga, firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah ayat 153).

Bacalah Al-Quran, dan fahamilah isi kandungannya. Nescaya anda akan mendapati bahawa sebenarnya tatkala anda sedang berdukacita, Allah SWT sedang memujukmu dengan ganjaran-ganjaran yang akan membahagiakan anda apabila anda bersabar. Pasti juga anda akan mendapati bahawa Allah SWT sedang berfirman kepada anda bahawa apa yang Dia janjikan itu tidak lain kerana Allah SWT mencintaimu. Tiada orang lain yang layak menerima balasan baik daripada Allah SWT melainkan orang yang dicintai oleh Allah SWT.


Proses Pentarbiahan

Dinukilkan, seorang pujangga bermadah:
“Jika ditimpa musibah atau kesusahan apa pun, bersuka rialah menjalani hari-hari yang terus berlalu, kerana pergantian hari demi hari akan semakin mengurangi umur daripada kesusahan itu. Kesusahan adalah sesuatu rentangan umur seperti umur manusia yang tidak boleh kamu andaikan bilakah akan berakhir.”

Kita semua tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian daripada Allah. Namun, setiap kali kita diuji, kita sebenarnya sedang ditarbiyah oleh Allah SWT dengan tarbiyah sabar. Cukup membuatkan kita sedar bahawa dunia ini tidak lain hanya mengecewakan kita, dan di akhirat segala-galanya buat kita.

Kita memang dikelilingi oleh manusia yang bergelar kawan. Merekalah tempat kita bergelak ketawa dan bermanja mesra. Namun, tidak ramai yang berada di sisi kita tatkala kita diuji. Semakin ramai yang meninggalkan kita, tidak bermakna kita keseorangan di dunia. Kita sebenarnya masih ada Allah di sisi kita.

Maka wajarlah kata-kata Ali Zainal Abidin (cicit Rasulullah SAW) dalam doanya:
“Wahai Tuhan, janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku, aku tidak mampu menguruskannya. Dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepada orang lain, kerana mereka akan menyia-nyiakan aku.”

Maka, tiada kemanisan lain yang dapat anda temui ketika anda diuji melainkan dengan sabar!

2 comments:

  1. suatu yang boleh kita jadikan panduan dan teladan :)

    ReplyDelete