Tuesday, September 2

Nikah Gantung ( Khitbah )

Cik Hani | 11:42 | 2Comments |

Nikah gantung (atau dalam Bahasa Arab disebut Nikah Khitbah) sebenarnya bermaksud pernikahan di mana pasangan pengantin tidak duduk serumah dalam satu-satu tempoh yang ditetapkan hasil persetujuan bersama kedua-dua belah pihak. Tanggungjawab pemberian nafkah oleh suami kepada isteri juga diringankan dan boleh dilepaskan.

Dalam kata lain, majlis akad nikah diadakan terlebih dahulu tapi majlis kenduri kahwin (walimatul urus) diadakan kemudian. Penangguhan majlis kenduri kahwin tersebut boleh hingga menjangkau tempoh bertahun-tahun lamanya.

Akan tetapi rukun-rukun perkahwinan seperti biasa perlu diikuti iaitu perlu ada suami, isteri, wali, saksi dan akad (Ijab Qabul). Tidak ketinggalan juga maskahwin pun perlu dibayar. Untuk hantaran boleh ditanggunhkan dulu.

Sebab-sebab biasa nikah gantung ini dibuat adalah seperti:
  1. Suami masih tidak mampu menyara sepenuhnya kos hidup isteri seperti rumah sewa, pakaian dan sebagainya.
  2. Pasangan masih lagi menuntut dan masih belajar.
  3. Belum bersedia memberi komitmen sepenuhnya dalam menunaikan tanggungjawab berumahtangga.
Setelah majlis akad nikah berlangsung, kedua-dua pasangan perlu tinggal secara berasingan sehingga benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Pada kebiasaannya pasangan ini akan tinggal di rumah ibubapa masing-masing.

Tujuan utama nikah gantung ini dilakukan ialah bagi mengelakkan berlakunya penzinaan dan kelahiran anak luar nikah. Setelah kedua-dua pasangan ini melalui nikah gantung, mereka boleh bertemu, berdating, dan bermesra. Malah jika melakukan seks pun hingga melahirkan anak ianya tidak salah dan tidak haram. Anak yang mereka lahirkan itu adalah sah hukumnya.

Walaupun mereka nikah gantung, mereka adalah pasangan suami-isteri yang sah di sisi agama Islam dan undang-undang Kerajaan Malaysia.

Dari sini anda dapat lihat bahawa kesucian institusi kekeluargaan itu dapat terus dipelahara. Si gadis yang hamil dalam tempoh nikah gantung tidak perlu berasa panik dan gerun oleh kerana anak yang dikandung adalah sah. Dengan ini kes-kes dan isu pembuangan bayi tidak akan berlaku.

Di sinilah anda boleh lihat bahawa ajaran Islam itu amatlah mudah dan mampu meringankan umatnya dalam menjalani kehidupan seharian.

Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai “Suspended Marriage Contract” iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama’ ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima’/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b] Pandangan jumhur ulama’ iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta’ (mengambil keseronokan) , jima’/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara’ kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Rujukan: Iluvislam, Kursus Kahwin

2 comments:

  1. Memang bagus nikah khitbah nie , ia adalah penyelesaian kepada remaja-ii zaman sekarng .

    ReplyDelete