Tuesday, September 9

BAGAIMANA MERASAKAN HIDUP KITA BERKAT?

Cik Hani | 00:10 | 0Comments |
Berkat itu bermaksud “Bertambah dengan kebaikan”. Bagaimana pula untuk merasainya?

1. Pendapatan yang sedikit, tapi cukup. Malah dapat memberi kepada yang memerlukan walaupun sedikit. Tabung Masjid tidak pernah dilupakan, zakat tidak pernah diabaikan. Mengukur baju di badan sendiri. Nikmat padanya dengan memberi. Seorang ayah yang miskin, mampu memelihara anaknya. Tiada yang kebuluran. Mengapa? Itulah berkat namanya…

2. Pendapatan yang banyak, lagi mudah untuk menolong. Dirasakan yang banyak itu perlu dikongsi. Mencari ruang untuk berkongsi. Memahami sebahagian kelebihan yang Allah berikan itu, ada bahagian untuk yang memerlukan. Tidak perlu orang datang untuk mengemis! Sombong itu tiada dalam diari hidupnya.

3. Masa yang sangat sibuk, tapi mampu untuk melakukan yang wajib dan membiasakan yang sunat. Subuhnya tetap dalam waktunya. Sedar, kesibukan bukan penghalang untuk selalu sujud kepada Nya. Nabi Yusof a.s juga sibuk mengurus perbendaharaan, tapi kekal dengan Penciptanya.

4. Masa yang lapang, mampu untuk menambahkan amal. Tidak menunggu masa yang khusus untuk mula beramal. Sedar, bukan semua daun yang kering akan gugur dulu dari rantingnya. Ada juga daun yang masih hijau, gugur tanpa sempat menjadi kering!

Ya Allah berkatilah rezeki yang Engkau berikan kepada kami,..

Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif

No comments:

Post a Comment