Saturday, June 7

Rezeki Orang, Rezeki Kita

Cik Hani | 17:51 | 0Comments |


Bagaimana kita melihat rezeki yang dikurniakan Allah buat diri kita? Apa yang kita rasakan? Cukupkah atau sebaliknya. Tanpa kita sedari, sebenarnya setiap dari kita dikurniakan rezeki yang berbeza-beza mengikut keperluan kita. Hari ini kita mungkin rasa kekurangan atau juga kelebihan dari aspek-aspek tertentu. Namun dalam masa yang sama, kita juga punya kelebihan juga kekurangan dari aspek-aspek yang lain pula.

Definasi rezeki bukan sekadar berkisar tentang harta dan pemilikan. Itu yang kita nampak, waimanya rezeki juga mewakili rasa tenang dan bahagia, punya kelapangan untuk melakukan kebaikan serta apa jua yang membuatkan kita sangat gembira tentangnya.

Dalam banyak keadaan kita sering melihat rezeki dari sudut keduniaannya. Bila dapat wang, ada harta atau naik pangkat. Oh kita kata…rezeki. Alhamdulillah. Ya, memang benar ia adalah rezeki. Setiap apa jua kurniaan Allah adalah rezeki.

Dalam banyak keadaan juga, kerap jua timbul rasa ‘cemburu’ yang tak wajar. Bila mengetahui orang lain dikurniakan sesuatu, respon kita sangat sinis pula. Tidak langsung menggambarkan kita turut gembira tentang apa yang diperolehinya itu. Kita cemburu orang lain dapat kebaikan. Kalau boleh biar mereka tidak dapat. Dan kita sangat berpuashati jika begitu. Astagfirullah…

Soal cemburu ini, soal hati. Kotor benarkah hati yang ada bersama kita ini?

Rezeki jua merangkumi apa juga yang bersifat tidak kelihatan, rasa tenang dan memiliki itu juga rezeki. Malah lebih besar kesannya kepada keseluruhan hidup kita ini. Yang peliknya hal seperti ini, jarang pula kita cemburui.

Jenis apakah kita ini?

Rezeki orang, rezeki kita. Itulah hakikatnya. Tidak sama. Sesuatu yang tak perlu dicemburui. Seluruh kehidupan ini perlu disyukuri. Jika memiliki kelebihan, panjatkan rasa syukur dan belajarlah memanfaatkan untuk menjadikan semua itu sesuatu yang ada nilaiannya di sisi Allah.

Jika kita rasa kekurangan satu-satu perkara berbanding orang lain, itu bukanlah soal yang perlu menjadikan diri kita sangat merasai kekurangan. Jika kita mampu terus sabar, redha dan syukur, ganjaran yang sangat besar serta tak terhitung bakal menanti. Itu janji Allah. Ia disusun sedemikian rupa atas keizinan-Nya yang sudah pasti punya kebaikan yang jarang kita ketahui.

Jika kita ada rasa cemburu atas rezeki orang lain, berusahalah untuk membersihkan hati. Kita sewajar berbahagia dengan rezeki yang dimiliki orang lain sebagai menisfestasi kasih-sayang sesama manusia .

Iroinya, cemburu perlu diletakkan pada tempat yang betul. Contohnya, cemburu bila orang lain mampu melakukan kebajikan yang banyak. Lalu kita turut mengusahakan melakukan perkara yang sama. Dan itu cemburu yang sangat digalakkan. Bukannya cemburu atas apa yang selain dari itu.

Akhirnya, fahamilah bahawa rezeki yang setiap dari kita terima adalah berbeza. Itu hanyalah soal apa yang sedang kita lalui di dunia ini. Yang terutama adalah kesudahan kita. Adakah kesudahan kita nanti adalah satu kesudahan yang baik. Kesudahan yang di akhirnya berada dakapan keredhaan Allah, Tuhan yang maha memiliki seluruh kehidupan dunia dan akhirat.

Nyatalah itulah jawapan yang perlu kita usahakan.

No comments:

Post a Comment