Wednesday, June 18

Pengaruh alam maya

Cik Hani | 11:50 | 0Comments |

Kalau artis atau selebriti terkenal, tidak terkejut jika mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial. Tapi kalau individu itu hanya orang biasa terutamanya pelajar, mempunyai pengikut melangkaui 100,000 adalah sesuatu yang hebat. MURSHID EUNOS berpeluang menemui empat sekawan yang masing-masing mempunyai peminat tersendiri di laman sosial mereka.
Instagram saja sudah melebihi 100,000 pengikut. Belum lagi laman sosial Twitter dan Facebook, semuanya sudah mencecah ratusan ribu dan itu sesuatu yang luar biasa kepada mereka yang langsung bukan berstatus selebriti kerana tanpa dikenali di pentas komersial, masih ada pengikut yang setia untuk ‘follow’. 
Megat Amir Danish Amir Noor Rashid, pelajar jurusan Diploma Komunikasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka bersama tiga lagi teman baiknya, Muhammad Akbar Azman, Muhammad Amirul Aizat Abdullah dan Nor Ainaa Mohd Azam adalah mereka yang tergolong di dalam kategori ini.

Mana tidaknya, kesemua mereka mempunyai pengikut di laman sosial yang tinggi hingga ada yang melangkaui sesetengah selebriti sedia ada. Walaupun masing-masing hanya remaja biasa, bukan bintang terkenal atau popular, namun ada tarikan tersendiri pada mereka hingga berjaya menghimpunkan ‘followers’ yang ramai.
Foto

Ketika bertemu eksklusif bersama mereka minggu lalu di Balai Berita, masing-masing hanya tersenyum dan tergelak sesama sendiri ketika diajukan persoalan itu. Apakah yang membuatkan seseorang itu menjadi popular atau ‘instafamous’ seperti mereka semua?

Kata Nor Ainaa yang berusia 19 tahun dan masih menuntut di Kolej Poly-Tech MARA, semuanya secara kebetulan dan tidak langsung dirancang.

“Tiada satu teknik atau strategi tertentu untuk menjadikan seseorang itu popular di laman sosial. Kadang-kadang ia disebabkan mereka cantik dan kacak membuatkan ramai remaja lain ingin melihat gambarnya, mungkin juga kerana setiap gambar yang dimuat naik itu kelakar.

“Tapi kalau melihat saya sebagai contoh, saya sendiri tidak pasti apa yang membuatkan begitu ramai ingin mengikuti saya di laman sosial kerana saya hanya memuat naik gambar peribadi dan aktiviti seharian seperti biasa. Mungkin kerana imej dan fesyen yang saya tampilkan membuatkan ramai yang ingin tahu.

“Lagipun golongan remaja memang jenis yang peka dan prihatin terhadap elemen membabitkan fesyen atau rutin peribadi seseorang. Itulah yang saya lihat sebab dan alasan saya diikuti ramai kawan anak muda lain,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Lain bagi Akbar Azman, Amirul Aizat dan Megat, lelaki lebih kepada elemen kelakar dan ayat cinta membuatkan seseorang itu berjaya meraih perhatian remaja lain selain berpaksi kepada aspek wajah komersial. 

Kata Akbar, ramai gadis dan remaja lelaki yang ‘follow’ laman sosial mereka kerana status yang kelakar atau memberi inspirasi. 

“Memang kita tahu laman sosial adalah medium utama yang digunakan golongan remaja seperti kami. Justeru sudah tentu apa yang kami suka adalah sesuatu yang remaja lain suka juga seperti status Twitter mengenai tips cinta, inspirasi dan material lawak. 

“Itulah yang kami buat pun sejak awal dulu pun,” katanya.

Amirul Aizat, remaja berusia 22 tahun juga pelajar jurusan Ukur Bangunan di UiTM Shah Alam atau lebih sinonim dengan panggilan Aizat Abd di laman sosial juga berpendapat sama. 

“Kami juga bermula daripada mempunyai blog sebelum ini. Macam-macam kami kongsi di blog termasuk rutin harian, pengalaman cinta, tips berguna untuk remaja dan macam-macam lagi membuatkan ramai yang mengikutinya. jadi apabila masing-masing membuka laman sosial lain seperti Twitter, Facebook dan Instagram, ‘followers’ sama setia mengikutnya,” katanya. 

Kalau ramai beranggapan ‘selfie’ itu adalah kriteria individu sakit otak dan gemar mencari perhatian, andaian itu salah sama sekali bagi mereka semua memandangkan ia salah satu cara paling digemari ‘followers’ di laman sosial. Megat sendiri mengakuinya. 

“Biarlah orang lain melihat perspektif begitu kerana jujurnya pada saya, ‘selfie’ adalah trend anak muda yang mana mendekatkan kita kepada kawan yang ‘follow’ di laman sosial. Contohnya kalau saya insta, tweet atau menaikkan status di Facebook mengenai sesuatu yang serius, jumlah ‘likes’ tidak sebanyak gambar ‘selfie’. Itu saja sudah membuktikan yang ‘selfie’ adalah pilihan anak muda hari ini.

“Bukan soal berangan, mencari perhatian atau sengaja nak tunjuk macho, sebaliknya itu perilaku normal untuk golongan muda,” katanya. 

Lebih menariknya, kesemua mereka dipertemukan menerusi laman sosial dua tahun lalu hingga kini mereka menjadi kawan baik yang sudah pun menubuhkan sebuah syarikat menjual pakaian dan produk fesyen secara ‘online’. 


Curi peluang menjadi usahawan

Selepas melihat pengaruh dan kelebihan yang ada pada mereka dengan mempunyai begitu ramai ‘followers’ di laman sosial, Megat membuka idea untuk mengeluarkan satu jenama pakaian mereka sendiri dan dijual menerusi laman sosial.

Baju-T ringkas bertemakan ‘selfie’ dalam tulisan jawi yang direalisasikan di bawah syarikat mereka, Mysteezy adalah permulaan kepada empayar perniagaan mereka berempat. 

Jelas Megat, kenapa perlu duduk diam dan rasa puas hati melihat ‘followers’ yang ramai tanpa memikirkan soal menjana pendapatan yang terbentang di depan mata. 

“Lihat saja hari ini, semua orang berniaga dan menjual pelbagai bentuk barangan hanya melalui ‘online’ saja. Jangan terkejut kerana ramai di antara mereka sudah pun mewah berniaga tanpa memerlukan premis perniagaan, bangunan atau pekerja yang ramai. 

“Justeru kami tampil memperkenalkan Mysteezy yang mengikut trend remaja hari ini. Sehelai Baju-T yang ringkas dengan rekaan ‘selfie’ dalam tulisan jawi yang sesuai untuk digayakan ke mana saja baik lelaki mahupun perempuan. Memang mengejutkan apabila kami berjaya menjual lebih 1000 helai kepada ‘followers’ kami. 

“Kini kami sudah pun muncul dengan satu lagi rekaan ‘glow in the dark’ untuk status OOTN (outfit of the night) yang cukup popular di Instagram dan juga baju untuk kempen Piala Dunia 2014. Alhamdulillah sambutan baik dan kami akan terus mencatur langkah pemasaran dan strategi lain untuk mengembangkan lagi usaha ini,” katanya. 

Tambah Ainaa, projek usaha sama mereka ini tidak hanya memberi pendapatan tambahan dan duit poket kepada mereka yang masih belajar, malah ia boleh dijadikan pendedahan awal sebelum mereka benar-benar bergelar usahawan satu hari nanti.

“Siapa sangka idea Mysteezy ini berjaya direalisasi dengan baik dan kini kami semua sudah pun melihat perkembangan positifnya. Alhamdulillah kami berjaya membina jenama kami dan insya-Allah usaha ini terus dikembangkan di masa akan datang,” katanya. 

Kepada semua ‘followers’ empat anak muda popular ini, jangan lupa untuk bersama mereka di sambutan bazaar terbesar Malaysia, Eh Eh Mega Bazaar 2014 pada 21 dan 22 Jun ini bertempat di MAEPS Serdang. Selain menjual produk Mysteezy, mereka juga hadir sama untuk beramah mesra dan bertemu anda semua sepanjang dua hari ini. 

Pastikan anda semua hadir pada Sabtu dan Ahad ini di 'booth' mereka di Eh Eh Mega bazaar 2014!

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18http://www.hmetro.com.my/articles/Pengaruhalammaya/Article

No comments:

Post a Comment