Saturday, June 7

Melepaskan Yang Disayangi

Cik Hani | 17:45 | 0Comments |

Dalam kehidupan ini, banyak perkara atau insan-insan yang kita sedang ‘miliki’ di dunia ini perlu dilepaskan atas sebab-sebab yang tertentu. Dalam banyak keadaan, jika ia suatu yang kita sayangi atau sukai, pastinya sukar. Sebaliknya jika bukan yang kita sukai, maka untuk dilepaskan, memang ditunggu-tunggu.

Soalnya, bagaimanakah kita menangani diri kita bila terpaksa melepaskan apa atau siapa yang kita sayangi itu?

Ingatkah kita sepotong kata-kata bahawa sesuatu yang kita sukai itu tidak tentu lagi suatu yang baik untuk diri kita. Begitu jua sesuatu yang buruk itu tidak tentu lagi suatu yang tidak baik buat diri kita.

Secara umumnya, kita tak mampu melawan takdir yang telah disuratkan. Rezeki itu satu ketentuan yang telah tertulis azali lagi. Sejauhmana kita cuba melarikan diri, rezeki akan pasti datang mencari kita. Jika benar ia milik kita, ia pasti milik kita. Jika ia bukan milik kita, lambat-laun ia akan pergi jua.

Dalam soal menyayangi apa yang sedang kita lalui, bila ia terpaksa dilepaskan, nilaikan kenapa kita sukar melepaskan. Adakah kerana kepentingan peribadi?

Yakinkah kita, dengan ketentuan Allah yang pasti menjanjikan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Yang mana ilmu kita tidak digapai perencanaan yang tersirat. Bagaimanakah keyakinan kita itu?

Demi redha-Mu ya Allah…aku lepaskan dengan berlapang dada,’ Kembali yakin bahawa perihal rezeki yang mengejar pemiliknya yang hak. Bukankah semuanya milik Allah. Dia berhak memberi dan berhak mengambilnya semula.

Peranan kita menerima dengan hati yang terbuka. Yakin dan percaya perihal ketentuan dan aturan Allah buat diri kita. Lihat jauh ke dalam diri. Selama ini apa yang berlaku dalam hidup kita, meski pahit…namun episod seterusnya sangat manis untuk dikenang. Malah ia menjadikan diri kita lebih baik lagi. Insya-Allah…

Hati yang celik mampu melihat semua ini. Sebab keikhlasan dan kejujuran itu menjadikan kepentingan peribadi bukan pokok utama. Hidup itu bersandar kepada redha Allah. Moga kemampuan kita menerima kehilangan apa yang kita sayangi sebagai tanda kita berupaya meletakkan segala-galanya kepada Allah, Tuhan yang merencanakan hidup dan mati kita.

‘Kami bertemu kerana Allah, dan kami berpisah kerana-Mu jua…’

No comments:

Post a Comment