Sunday, May 11

Solat: Kenapa Perlu Kusyuk

Cik Hani | 12:40 | 0Comments |



Solat akan memberi kesan yang sempurna apabila didirikan dengan sempurna segala rukun, syarat, dan sunnahnya. Secara lahir, kita menunaikannya secara sempurna dengan anggota badan. Secara batin, kita khusyuk dalam melaksanakannya. Amalan solat yang bersifat lahiriah, dilaksanakan dengan baik oleh orang Islam. Tetapi, apakah kita khusyuk melaksanakannya, masih menjadi tanda tanya besar.
Solat, menyucikan jiwa. Pada waktu yang sama ia mempertajam makna ubudiyah, tauhid, dan syukur. Solat adalah zikir, gerakan berdiri, ruku', sujud, dan duduk. Solat dapat memusnahkan kesombongan dan pembangkangan kepada Allah, di samping merupakan pengakuan terhadap rubbubiyah dan hak pengaturan. Mendirikan solat secara sempurna akan dapat memusnahkan semua bentuk kemungkaran dan kekejian.
"Sesungguhnya solat dapat mencegah kekejian dan kemungkaran."(Al-Ankabut 29).
Rasulullah saw. bersabda, "Ilmu yang pertama kali diangkat dari muka bumi adalah kekhusyukan." (HR Thabrani).
Padahal, sabda Rasulullah lagi..." khusyuk merupakan tanda pertama orang-orang beruntung" (Al-Mu'minun 1-2).
"Orang-orang khusyuk adalah orang-orang yang berhak mendapat khabar gembira dariAllah SWT. "(Al-Hajj:34-35).
Demikian pentingnya kedudukan khusyuk, hingga tanpanya maka rosaklah hati dan keadaan. Sesungguhnya khusyuk merupakan manifestasi tertinggi dari sihatnya hati. Jika hilang khusyuk bererti hati telah didominasi berbagai penyakit yang berbahaya. Bila hati telah didominasi berbagai penyakit, maka kecenderungan kepada akhirat akan hilang. Bila hati telah sakit maka sumber-smber kebaikan bagi kaum Muslimin pun hilang. Cinta dunia menimbulkan persaingan untuk mendapatkannya, sedangkan persaingan terhadap dunia tidak layak menjadi landasan tegaknya urusan dunia dan agama.
Hilangnya khusyuk bererti hilangnya kehidupan. Hidup akan didominasi oleh hawa nafsu. Bayangkan, tatkala hawa nafsu mendominasi hati, segala nasihat dan peringatan tidak lagi bermanfaat, maka berbagai nafsu pun bermaharajalela. Lalu terjadilah perebutan kedudukan, kekuasaan, harta, dan nafsu syahwat. Bila hal-hal ini mendominasi kehidupan, maka tidak akan wujud kebaikan dalam dunia maupun agama.
Oleh kerana khusyuk berkaitan dengan ilmu penyucian hati masalah ini meliputi skop yang yang amat luas sehingga para ulama memulainya dengan mengajarkan zikir dan hikmah kepada orang yang berjalan menuju Allah sampai hatinya hidup. Bila hati telah hidup bererti mereka telah membersihkan dari berbagai sifat yang tercela dan menggantikannya dengan sifat-sifat terpuji. Di sinilah perlunya membiasakan hati khusyuk melalui kehadiran bersama Allah dan merenungkan berbagai nilai kehidupan.
Mengikut imam Al-Ghazali, khusyuk dalam solat merupakan ukuran dan tanda kekusyukan hati. Bagaimana khusyuk dapat dihadirkan? Menurut Al-Ghazali, orang yang lalai hatinya sewaktu bersolat, tidak mungkin memanfaatkan solatnya untuk mengingati Allah. Kehadiran hati adalah roh solat. Ia bermula dari takbiratul ihram. Semakin bertambah kehadiran hati,
semakin bertambah pula roh tersebut ada dalam bahagian-bahagian solat. Berapa banyak orang yang hidup tapi tidak mempunyai daya gerak hingga seperti mayat. Demikian pula orang yang lalai dalam seluruh pelaksanan solat. Ia seumpama orang hidup yang lumpuh.
Menurut Al-Ghazali, makna batin memiliki banyak ungkapan tetapi seluruhnya terangkum dalam enam kalimat. iaitu: kehadiran hati, tafahhum, takzim, haibah, raja’da haya'. Kehadiran hati ialah mengosongkan hati dari hal-hal yang tidak perlu sehingga dia sentiasa sedar, tidak berpikiran liar.
Tafahhum adalah faham terhadap makna. Takzim itu rasa hormat. Haibah adalah rasa takut yang bersumber dari rasa hormat. Raja' adalah pengharapan dan haya' adalah rasa malu. Penyebab kehadiran hati adalah himmah atau perhatian/ fokus. Tafahhum berasal dari kebiasan berpikir untuk mengetahui makna.
Takzim lahir dari dua makrifat (terhadap kemuliaan dan keagungan Allah dan terhadap kehinaan dan kefanaan dirinya). Haibah datang dari makrifat akan kekuasaan Allah, hukumanNya, pengaruh kehendakNya. Penyebab timbulnya raja' adalah kelembutan Allah, kedermawananNya, keluasaan nikmatNya, keindahan ciptaanNya dan pengetahuan akan kebenaran janjiNya. Sedang haya' muncul melalui perasaan serba kurang sempurna dalam beribadah dan pengetahuannya akan ketidakmampuan menunaikan hak-hakAllah. Berdasarkan itu, manusia terbagi menjadi tiga kelompok:
Pertama: Orang lalai yang mendirikan solat, tetapi hatinya tidak hadir sama sekali.
Kedua: Orang yang mendirikan solat dengan hati tak pernah lalai sama sekali.
Ketiga: Orang lalai yang dan tidak mendirikan solat.
Yang terbaik adalah orang yang kedua. Dia tidak pernah lalai dalam solat dan selalu menghidupkan hatinya. Dia fokus sehingga tidak merasakan terganggu dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Bahkan bagi setengah orang, sewaktu bersolat wajahnya pucat dan dadanya bergoncang kerana takut kepada Allah swt. Ini tidak mustahil dicapai oleh manusia. Namun kebanyakannya tidak mencapai tahap ini. Kebanyakan orang mengalami hal sebegini rupa kerana takut kepada golongan pemerintah/ berkuasa di dunia tetapi tidak kepada Al-Rabbi.
Jika kita termasuk orang yang menginginkan akhirat, kita tidak teralai dari berbagai peringatan yang terdapat dalam prasyarat dan rukun-rukun solat. Prasyarat yang mendahului solat adalah azan, bersuci, menutup aurat, menghadap kiblat, berdiri tegak lurus dan niat. Ketika mendengar seruan muazin hadirkanlah dalam hati gambaran dahsyatnya seruan hari kiamat dan bersegeralah dengan lahir dan batin untuk memenuhinya. Orang-orang yang bersegera memenuhi seruan ini adalah orang-orang yang dipanggil dengan penuh lemah lembut pada hari akhirat. Arahkan hati kepada seruan ini.
''Jika kita mampu mendapatinya dengan penuh kegembiraan, kesenangan, selalu berkeinginan untuk memulainya, maka ketahuilah rasa khusyuk akan datang kepadamu,'' kata Said Hawwa dalam buku Tazkiyatun Nafs (Menyucikan Jiwa).
Mencari Kekusyukkan Dalam Solat
1] Sentiasa melakukan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid).
2] Menjaga makanan dan minuman agar terjamin halalnya.
3] Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4] Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5] Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui setiap anggota.
6] Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti hendak menghadap pembesar negeri.
7] Tempat sujud dipastikan supaya tidak ada gambar yang mengganggu fikiran atau membimbangkan hati.
8] Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.
9] Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah yang maha Agung dan maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.
10] Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11] Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Qur’an dan segala zikir.
12] Sebelum mengangkat takbir, membaca surah al-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa jua bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13] Memandan ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam bersolat.
14] Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15] Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
16] Memastikan tiada gangguan dalam kawasan kita bersolat.
17] Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.
Rujukan: Ustaz Ismail Kamus

No comments:

Post a Comment