Thursday, May 15

Hidup Cuma Sementara, Berbahagialah

Cik Hani | 00:25 | 0Comments |
Allah swt berfirman..

"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)." (Muhammad 47:36)

Andai kita kaya di dunia ini. Andai kita cantik di dunia ini. Andai kita berjaya di dunia ini. Bersyukurlah, dan beringat-ingatlah, bahawasanya, dunia ini hanya sementara. Segalanya tidak akan berkekalan dan apabila tiba masanya, semuanya akan sirna jua. Dan sekiranya kita miskin di dunia ini. Sekiranya kita serba kekurangan di dunia ini. Usahlah pula berduka cita berpanjangan, kerana sesungguhnya, segala kesengsaraan dan kesempitan itu suatu hari nanti pasti akan berakhir jua.

Sesungguhnya, dunia ini hanya diibaratkan taman permainan semata-mata, ia tidak akan berkekalan, yang abadi adalah dunia akhirat. Biar setinggi mana kita berada, jangan dilupa bahawa kita adalah hamba Allah swt. Allah tidak perlukan apa-apa pun daripada kita, bahkan kitalah yang memerlukan Allah. Oleh itu, jangan sekali-kali melupakan Allah swt. 

Dan jika pun kita berada di kedudukan yang paling rendah, ingatlah juga, bahawa kita adalah khalifah di muka bumi ini. Jangan terus mengalah dan berputus asa, berusahalah untuk bangkit semula. Ingat bahawa Allah sentiasa ada, Dia memakbulkan doa hamba-hambaNya yang soleh, dan Dialah juga yang melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki.

Pengalaman mendewasakan seseorang. Bertambah angka usia tidak semestinya dapat menjamin kematangan seseorang. Biasanya lebih banyak pengalaman yang di lalui maka lebih matang seseorang itu dalam berhadapan dengan pelbagai situasi atau masalah. Namun. Ia terserah kepada individu tersebut untuk mengambil pengalaman yang sudah di lalui itu dalam aspek positif atau negatif.

Ada yang tersepak batu, terjatuh dan terus bangun. Lain kali bila lalu di tempat yang sama, dia lebih berhati-hati supaya tidak terjatuh lagi dan kadang-kadang melompat lebih tinggi supaya bukan saja tidak jatuh, tapi ingin menjadi lebih baik sebelumnya.. Ada juga yang bila tersepak batu, terjatuh terduduk menangis tanpa henti dan tidak mahu bangkit lagi, dan ada juga yang tersepak batu, terjatuh lalu bangun namun keesokannya bila lalu di tempat yang sama dia tidak berhati-hati lalu terjatuh lagi...di tempat yang sama..Manusia ada pelbagai ragam dan gelagat. Kita dalam kategori yang mana?

Ada manusia yang bila di timpa musibah, bersedih seketika namun semangatnya segera pulih dan berhati-hati supaya tidak di timpa musibah yang sama. Ada yang bila di timpa musibah, berusaha lebih kuat supaya bukan saja tidak mengulangi nasib malang yang sama tetapi mampu mencapai kejayaan yang lebih baik dan ada juga yang bila di timpa musibah, terus meratapi nasib diri dan tidak mahu berusaha mengubah nasib dan ada juga yang bila di timpa musibah, tidak mahu belajar dari kesilapan yang sudah. 

Lalu musibah sama terus berulang, dan lebih teruk dari itu, ada yang bila di timpa musibah, bukan saja berulangkali di timpa musibah yg sama, malah di timpa musibah yang lebih teruk dari hari yang sudah. 

Tidak pernah belajar dari kesilapan... Bagaimana dengan kita?

Tulis Nama Atas Pasir

Pada suatu masa, ada dua orang sahabat baik, Abu dan Bakar. Mereka berkawan baik sejak kecil. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dua orang manusia yang lain hati dan minda. Suatu hari, Abu secara tidak sengaja telah menyakiti hati Bakar. Bakar bersedih lalu menulis di atas pasir, mencatat apa yang di lakukan oleh Abu terhadapnya. Abu melihatnya dan setelah bermaaf-maafan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Suatu hari, Bakar di dalam kesulitan dan Abu dengan segera membantu Bakar. Bakar sangat berterima kasih lalu mengukir di atas batu kebaikan yang telah Abu lakukan terhadapnya. Abu yang melihatnya kehairanan lalu bertanya.

"Kenapa tempoh hari semasa aku menyakiti hati kamu, kamu menulis di atas pasir dan sekarang bila aku membantu kamu, kamu menulisnya pula di atas batu?"

Bakar menjawab:

"Jika kita menulis di atas pasir, ia tidak akan kekal lama. bila angin datang meniup pasir-pasir tersebut akan hilang dan seterusnya apa yg aku tulis juga akan hilang. tapi aku menulis kebaikan kamu di atas batu supaya ia terus kekal di situ lebih lama, sampai bila-bila"

"Begitu juga hati aku, aku akan memaafkan kamu di atas kesilapan kamu dan segera melupakannya..tapi kebaikan yang telah kamu lakukan padaku, tak mungkin akan aku lupa sampai bila-bila.."

Penutup

Dalam menempuhi kehidupan ini, pelbagai dugaan dan ujian datang menduga. Dalam kehidupan ini juga kita akan bertemu dengan pelbagai ragam orang. ada yang menghiburkan dan ada yang menyakitkan. pengalaman yang di kutip juga ada yang manis dan ada yang pahit mengalahkan hempedu. Namun ingatlah, jangan simpan semua kisah sedih itu di dalam hati dan minda. Jangan di kenang dan di imbas berulang kali. Kelak hanya akan menambah luka di hati. Dan selamanya luka itu tidak akan sembuh. Lalu jadilah kita orang yang sentiasa bermasam muka, bersedih hati lalu tiada semangat hidup. Tiada semangat untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

Ubat hati yang paling mujarab adalah memaafkan dan melupakan segala kisah yang sedih dan hampa. Untuk menjadi seorang yang bahagia kita sepatutnya menutup lembaran kisah duka, simpan kemas dan rapi dalam lipatan sejarah dan usah di kenang semula. Biarkan kisah sedih itu terus kusam dan memburuk di situ dan biarkan ia lupus. Hidup ini penuh dengan warna-warni, maka teruskan hidup dengan mencari sinar baru yang lebih baik. Terokailah hidup yang indah ini dengan azam dan semangat baru. InsyaAllah kebahagiaan yang di cari pasti akan di temui.

Orang yang suka mengenang hari yang lepas adalah orang yang rugi. Selalu bersedih mengenangkan perkara yang sudah tiada tidak menguntungkan. Sesungguhnya perkara yang sudah berlalu tidak mungkin dan mustahil akan berulang lagi. Menangis berairmatakan darah juga tidak mungkin dapat mengubah sejarah. 

Hari lepas adalah sejarah yang tidak mungkin berulang dan hari esok adalah suatu mimpi yang tidak pasti.. Namun kita harus tabah dan berani menghadapi realiti kehidupan. Kita hidup kerana hari yang lalu namun hari esok tak semestinya milik kita. hanya Dia yang Tahu.

Untitled

No comments:

Post a Comment