Saturday, May 24

Contoh Takwa yang Dipertunjukkan oleh Abu Bakar.

Cik Hani | 01:12 | 0Comments |

Tidak syak lagi bahawa Abu Bakar (r.a.hu) merupakan manusia yang paling tinggi mertabatnya di kalangan para sahabat. Nabi S.A.W sendiri pernah menyampaikan berita gembira mengenai kedudukannya yang utama di antara penghuni-penghuni yang maha mulia.

Kata Rasulullah : 

"Nama Abu Bakar akan diseru dari segenap pintu syurga dan dialah pengikutku yang pertama yang akan memasukinya."

Namu demikian, perasaan takutnya kepada Allah tetap bertakhta dikabulnya.
Dia sering berkata:

"Alangkah baiknya kalau aku menjadi sebatang pokok yang ditebang dan dijadikan kayu api."

Kadang-kadang dia berkata:

"Alangkah baiknya kalau aku ini sehelai rumput yang riwayat hidupnya akan tamat apabila dimakan oleh seekor binatang ternakan."

Pada suatu hari dia telah pergi ke sebuah laman di mana ia lihat seekor burung sedang berciap-ciap.

Katanya:

"Wahai burung! Sungguh bertuah, kamu. Kau makan minum, dan berterbangan di bawah naungan pokok-pokok kayu tanpa sebarang perasaan takut tentang Hari Perkiraan. Aku ingin menjadi seperti engkau, wahai burung."

Rabi’ah Aslami r.a.hu telah bercerita:

"Pada suatu hari saya telah bertengkar dengan Abu Bakar. Semasa pertengkaran itu berjalan, dia telah mengeluarkan separah perkataan kesat terhadap saya. Dengan serta merta itu juga, dia telah menyedari akan kesalahannya itu lalu berkata:

"Wahai saudara, gunakanlah perkataan itu terhadap saya sebagai tindakan balas."

Saya enggan berbuat demikian. Dia menggesa-gesakan saya supaya menggunakan perkataan kesat tadi dan berkata hendak merujukkan perkara itu kepada Nabi, Saya tidak juga mahu mengalah. Dia pun bangun lalu meninggalkan saya. Beberapa orang ahli dari puak saya yang menyaksikan peristiwa tadi mencemuh:

"Ganjil betul orangnya; dia yang melaku kesalahan dan dia pula mengancam hendak mengadu kepada Nabi."

Saya dengan segera menyampuk:

"Kamu tahukah siapa dia? Dia adalah Abu Bakar. Menyinggungnya bererti menyinggung Nabi dan menyinggung Nabi bererti menyinggung Allah. Kalau perbuatanku menyinggung Allah, siapakah gerangannya yang akan menyelamatkan aku?"

Saya pun bangun lantas pergi kepada Nabi, kepadanya saya ceritakan apa yang telah berlaku. Katanya:

"Keengganan kamu mengeluarkan kata-kata kesat itu sudah kena pada tempatnya. Tetapi untuk mengurangkan penderitaan batinnya, kau sekurang-kurangnya dapat berkata: "Semoga Allah mengampuni kamu, wahai Abu Bakar."
(at-Taubah 9:92)

Begitulah takwa yang telah dipertunjukkan oleh Abu Bakar. Keengganannya menerima pembalasan di alam akhirat menyebabkan dia memaksa Rabiah Aslami supaya mengambil tindakan balas terhadapnya. Kekesalannya dan penderitaan batinnya akibat kesalahannya itu demikian rupa sehingga dia sanggup menceritakan segala-galanya kepada Nabi dengan harapan Nabi dapat menolong. Bagaimanakah pula perasaan kita, ummat Islam kini, selepas melakukan kesalahan yang seperti di atas? Kita seringkali melakukan kesalahan tanpa sebarang perasaan takut akan pembalasan samada di dunia ini ataupun di akhirat nanti. Wallahualam.

Kisah ini dipetik dari :
Fazaile-Amal : Himpunan kitab kitab Fadhail

No comments:

Post a Comment