Thursday, May 15

Biar Tersilap Tidak Hukum daripada Tersilap Hukum

Cik Hani | 10:26 | 0Comments |
"Buat apa bazir duit ribu-ribu pergi Mekah? Duit banyak tu, dah boleh buat macam-macam."

"Eleh! Kalau buat umrah setakat nak menunjuk-nunjuk, nak orang nampak dia hebat, buat apa?"

"Ah. Tak heranlah dia pergi Mekah. Tak ada makna pun!"

Astaghfirullahalazim.. Moga Allah jauhkan kita dari sifat dan prasangka sebegitu. Orang yang begitu cara pemikirannya, mungkin kebiasaannya pada bulan Ramadhan setakat berlapar menahan diri dari makan dan minum. Tidak tahu ganjaran berganda-ganda yang telah dijanjikan Allah. Dan kalau pun tahu, tidak bersungguh-sungguh untuk merebutnya. Orang itu juga mungkin akan duduk bermalas-malasan ketika azan berkumandang, tidak bersungguh-sungguh untuk hadir ke masjid untuk solat berjemaah. Tidak tahu ganjaran untuk solat berjemaah berganda 27 kali dan kalau pun tahu, tidak berusaha untuk meraihnya. Terlupa bahawa hidup cuma sementara, tempat untuk berbuat amal kebajikan, bekalan di hari akhirat.

Hadis Nabi ada menyebut. Setiap amalan dimulakan dengan niat. Maka, perbanyakkanlah amalan dan jagalah niat. Jaga hati kita.

Orang yang suka berprasangka buruk, mungkin juga kerana hatinya telah dipenuhi dengan noda hitam, sebati dengan sifat mazmumah, suka berfikiran negatif pada orang lain dan suka menilai orang berdasarkan penilaian sendiri yang belum tentu sahih.

Teringat perkongsian dari Slot Motivasi Pagi di radio Ikim.fm.

Tentang mata lebah dan mata lalat.

Mata lalat, biarpun sedang terbang dalam sekebun bunga yang kembang mekar, namun matanya mencari-cari najis dan sampah. Sedangkan, mata lebah pula. Biarpun sedang dikelilingi longgokan sampah yang banyak, namun matanya mencari-cari kuntuman bunga yang mekar.

Pendek kata. Mata lalat nampak dan fokus pada keburukan biarpun disekelilingnya adalah kebaikan. Yang elok ada, cari yang busuk! Manakala mata lebah pula nampak dan fokus kepada kebaikan biarpun dikelilingnya penuh dengan keburukan.

Lalat apabila singgah pada makanan kita, boleh memudaratkan. Tapi lebah, madunya kita cari susah payah kerana ianya berkhasiat.

Jadi. Mata kita mata yang mana? Kita ini lalat atau lebah?

Seorang profesor ada berpesan pada saya. Jauhi sikap suka membuat andaian kerana andaian kita tak selalunya betul. Dan kalau pun terbit dalam jiwa kita perasaan ingin berandaian-pimpinlah ia ke arah yang positif. Bersangka baik! Kadang kala kita marah, sakit hati, benci pada orang kerana andaian kita sendiri. Sedangkan orang itu hidupnya bahagia aman damai tidak terjejas apapun. Nah! Siapa yang rugi? Siapa yang sakit? Kita juga.

Kata seorang sahabat, dari buku yang dia baca, 'benci dan dendam ibarat menggali dua kubur'. Kubur untuk diri sendiri dan satu lagi kubur untuk orang yang dibenci andai kita tegar melunaskan kebencian kita dengan memudaratkan orang yang dibenci. Dua-dua pun punah. Dia dan kita sendiri. Kalaupun di dunia terselamat, di akhirat tak lepas.

Jangan tersalah hukum kerana yang Maha Penghukum sentiasa mengawasi kita.

'CCTV' Allah tidak pernah off. Allah tak pernah tidur. Malaikat Rakib dan Atib tak pernah lalai dalam menjalankan tugas mereka mencatit amalan.

Siapalah kita untuk menilai keikhlasan orang? Hebat sangatkah kita? Sedangkan Allah berfirman bahawa Dia tahu apa yang diucapkan oleh hambaNya ataupun tidak. Apa yang terdetik dalam hati kita pun Allah tahu. Dan kalaupun orang lain tidak ikhlas, Allah pun tahu! Biarlah Allah mengadilinya kerana Dia maha adil. Janganlah kerana tersilap menilai orang, kita pula yang mendapat murka Allah. Jangan pula malaikat di bahu kiri yang mencatit amalan ke dalam buku kiri kita. Naauzubillah.

Ayuh. Kita saling mengingatkan. Mengajak kearah kebaikan, mencegah kearah kemungkaran.

Moga Allah membantu kerana hanya Dia yang benar-benar tahu sejauh mana keikhlasan hamba-hambaNya.

No comments:

Post a Comment