Monday, May 5

Antara Teori Dan Praktikal

Cik Hani | 21:30 | 0Comments |

Dalam apa pun yang kita buat,  Ilmu pasti menjadi asas-nya. 
Namun, ilmu sahaja selalunya tidak memadai.
Begitu juga dalam hendak menilai atau hendak mengukur sesuatu perkara, tidak memadai kita mengukur sesuatu itu hanya dengan ilmu atau teori semata-mata.
Secara ilmiah, hanya akan tercetus ilmul yakin atau keyakinan yang berdasarkan kepada teori sahaja.

Ilmul yakin masih terdedah kepada berbagai-bagai keraguan dan faktor-faktor yang belum tentu.
Mungkin ilmu kita tidak tepat atau tidak cukup atau tidak mengikut dan tidak mengambil kira perubahan yang berlaku atau variasi yang wujud dalam satu-satu hal, perkara atau situasi itu.
Mendasarkan sesuatu kepada teori semata-mata tidak semestinya akan menghasilkan kepastian atau ketentuan yang nyata.

Praktis akan menampakkan Realiti
Di samping ilmu, kita mesti juga ukur sesuatu perkara itu dengan realiti.
Realiti membuahkan kepastian dan ketentuan. Realiti mampu mencetuskan ainul yakin atau yakin yang berdasarkan realiti yang kita lihat yang tentunya lebih kuat dari ilmul yakin.
Di dalam teori, mungkin tidak wujud halangan yang boleh menggugat. Kita akan melihat semuanya akan berjalan licin.

Tetapi tidak di dalam praktikal. Di dalam praktikal lah wujudnya satu makhluk bernama cabaran, dan cabaran inilah yang akan menampakkan realiti.
Contohnya, kita hendak mencipta suatu alat untuk membuat tali. Berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran yang ada, mungkin kita akan dapat membuat lakaran teknikal atau technical drawing untuk membuat alat tersebut.

Berikutan itu, kita mungkin juga akan dapat membuat alat tersebut di dalam workshop tepat dengan kehendak lakaran teknikal yang kita buat itu.
Tetapi sama ada alat tersebut boleh berfungsi seperti mana yang kita kehendaki, tidak dapat kita tentukan. Hasil ilmu dan kepakaran kita itu perlu dipastikan dengan ujian-ujian praktikal untuk menentukan ia benar-benar boleh berfungsi. Ujian praktikal ini sebenarnya ialah ukuran realiti.
Kalau secara realitinya alat tersebut boleh digunakan untuk membuat tali, maka barulah ia dianggap berjaya. Kalau tidak, pembetulan, ubah suai dan pelarasan perlu dibuat terhadap alat tersebut sehingga segala masalah dapat diatasi.

Jika kita mencipta suatu resipi masakan. Memang, kita boleh masak mengikut resipi yang kita cipta itu.
Akan tetapi, berjaya atau tidak, sedap atau tidak resipi tersebut perlu ditentukan dengan ujian cita rasa. Kita mesti rasa hasil masakan resipi itu.
Baru kita tahu ianya baik atau tidak.  
Seperti dalam peribahasa Inggeris,  ”the proof of the pudding is in the eating”.
Kalau dibidang perguruan seperti saya pula, tidak semestinya dengan belajar pelbagai teori pendidikan, saya dapat menjadi guru yang baik.
Begitulah juga dengan ciptaan kereta, kapal atau pesawat terbang. Setakat mana hebat pun ilmu dan kepakaran yang digunakan, prototaipnya mesti melalui berbagai-bagai ujian realiti sebelum ianya diluluskan untuk kegunaan umum.
Begitu juga didalam kehidupan kita.

Tidaklah kita ini dikatakan sabar apabila kita hanya menghafal makna sabar dan mengetahui kisah-kisah tentang Rasul dan para solehin yang penyabar.
Tidaklah kita ini dikatakan pandai melakukan ibadah Haji hanya kerana kita boleh menjawab semua soalan-soalan berkenaan manasik Haji.
Bukan juga kita ini dikatakan seorang doktor yang hebat hanya kerana kita mendapat 4flat di dalam ijazah.
Dan bukanlah kita ini seorang Islam yang bagus, hanya kerana kita mempunyai PhD dalam bidang agama.
.
Praktis Itu Penting Dalam Kehidupan
Teori-teori perlu dibuahkan menjadi sesuatu yang mampu digerakkan di dalam realiti. Barulah dinamakan kita memahami sesuatu perkara itu dengan jelas.
kita diakui semua perkara di atas adalah apabila kita berjaya mempraktikkan apa yang kita ketahui, ke dalam alam realiti. Kita hanya boleh dikatakan ikhlas apabila kita benar-benar ikhlas.
Kita hanya boleh dikatakan sabar hanyalah apabila kita mampu bersabar.
kita dikatakan guru yang baik jika dapat mengawal kelas dan membuat murid kita faham isi pelajaran kita.

Kita dikatakan boleh melakukan haji hanyalah apabila kita berjaya melaksanakannya dengan baik. Kita adalah seorang doktor yang hebat adalah apabila kita berjaya menyelamatkan ramai pesakit.
Kita dikatakan seorang Islam yang bagus, adalah apabila kita berjaya mempraktiskannya di dalam kehidupan dan menempuh segala cabaran dan ujian.

Jatuh Gagal Itu Lumrah Kehidupan
Di dalam dunia praktikal, kesilapan, kejatuhan, kegagalan adalah lumrah.
Sebab ia adalah realiti. Di dalam realiti akan wujud banyak perkara yang mungkin tidak berada di dalam ilmu kita, atau di luar perancangan kita. Kita manusia bukannya tahu semua perkara dan boleh pula menjangka masa hadapan sehingga mengetahui halangan apakah yang bakal menimpa.
Bagi yang memahami hakikat ini, maka dia tidak akan mudah berputus asa.
Dia akan bangkit semula. Dan in adalah pembuktian pada kesungguhannya

Hendak melihat sama ada kita benar-benar berkualiti? Hendak merasai apakah itu realiti?
Terjunlah ke medan praktis.
Kalau sekadar bermain-main teori, sama sahaja seperti orang yang berada di tepian, hanya tahu berbicara tetapi tidak pernah merasai. Maka kata-katanya hanyalah botol-botol kosong sahaja yang bising tetapi tidak berisi.

sumber: akuislam

No comments:

Post a Comment