Monday, April 7

:: Sebelum Aku Bernikah : Berusaha Mencapai Mampu ::

Cik Hani | 16:33 | 0Comments |

Oleh : Hilal Asyraf
Mampu untuk berkahwin, pada saya mudah. Mampu untuk berumahtangga, itu satu perkara lain. Perkahwinan, boleh sahaja dilakukan sehari. Boleh sahaja dilakukan dengan murah. Boleh sahaja makan dengan sederhana untuk mengurangkan bajet. Boleh sahaja untuk jemput sedikit orang, bagi mengurangkan kos. Kemudian berkahwinlah, habis tetamu pulang, tamatlah majlis perkahwinan.
Mudahnya majlis perkahwinan, ianya hanya didirikan dengan wang. Wang itu pula tidak semestinya perlu banyak. Kalau mahu buat murah-murah, boleh sahaja. Tiada masalah.
Tetapi rumahtangga, adalah apa yang saya lihat satu perkara lain. Jauh lebih besar daripada majlis perkahwinan.
Kalau ‘mampu menjalankan majlis perkahwinan’ diukur dengan duit. Maka ‘mampu untuk melayari bahtera rumahtangga’ memerlukan duit yang lebih, ditambah pula kawalan emosi dan persediaan rohani yang tinggi.
Ya. Mampu itu bukan semata-mata wang.
Kefahaman ini yang mesti ditekankan, dalam berusaha mencapai ‘mampu’.
Bolehkah Kita Pastikan Kita Telah Mampu?
Jika soalan ini dilontarkan kepada saya, saya akan kata bahawa kita boleh sebenarnya untuk memastikan diri kita telah ‘mampu’.
Sebagaimana kita memberikan peperiksaan untuk menguji kemampuan minda, ingatan dan kefahaman terhadap pelajaran yang kita timba, begitulah juga kita boleh menguji diri kita untuk melihat sejauh mana kemampuan kita berumahtangga.
Pertamanya, kita bahagikan kemampuan itu kepada tiga perkara.
1 – Rohani.
2 – Emosi.
3 – Material.
Kita letakkan beberapa target dalam semua medan ini. Contohnya, rohani, kita fokuskan kepada hubungan kita dengan Allah SWT. Maka contoh mudahnya, solat fardhu. Kita uji diri kita, dalam sebulan, berapa banyak kita mampu solat fardhu awal waktu. Kita uji diri kita, dalam sebulan, berapa hari kita mampu istiqomah baca Al-Quran 10 muka sehari. Contohnya.
Di situ kita ukur kemampuan rohani kita.
Emosi pula contohnya, kita boleh uji dengan sentiasa peka akan tindakan kita. Marah contohnya. Berapa kali bila berlaku situasi yang boleh mencucuh kemarahan kita, kita mampu bersabar. Bertolak ansur contohnya. Berapa kali bila berlaku sesuatu perselisihan, kita mampu bertolak ansur dan berlapang dada. Mampu berbincang, contohnya. Berapa kali bila ada salah faham, atau urusan, kita mampu bawa diri kita berbincang.
Material pula, bolah kita ukur dengan simpanan kita, cara perbelanjaan kita, aset yang kita sudah ada, dan sebagainya. Material mudah. Emosi dan Rohani yang nampaknya tricky sedikit dan perlukan penelitian. Namun, material juga sangat penting. Cara berbelanja, cara berjimat, terutamanya.
Baik, daripada semua ujian-ujian yang kita jalankan ini, hakikatnya kita boleh rumuskan, apakah kita ini ‘mampu’ atau tidak untuk mengemudi rumahtangga.

Tidak Mampu, Tidak Boleh Kahwinkah?
Setakat yang saya tahu, tiada halangan. Tetapi, yang ada adalah kemungkinan besar untuk berlaku kerosakan kala masa hadapan di dalam rumahtangga kita.
Kita perlu ingat, bahawa rumahtangga diasaskan oleh dua manusia, bukan seorang. Dua manusia, walau bercinta, tetap dua manusia yang berlainan minda dan jiwa. Jadi, masing-masing ada pendapat masing-masing, kehendak masing-masing, cara masing-masing, kesukaan masing-masing.
Di sinilah kemampuan emosi memainkan peranan. Tetapi jika kita tidak pernah berusaha mengasah emosi kita, tidak pernah berusaha mencapai ‘mampu’ untuk mengawal emosi kita, matang, dan sebagainya, maka kita akan punya masalah.
Kita akan mudah marah dengan pasangan, bergaduh, bermasam muka, pendam, bengang, dan sebagainya bila berlaku salah faham, perselisihan, dan pelbagai lagi ujian rumahtangga.
Kita juga perlu ingat bahawa dalam rumahtangga, kita ada tanggungjawab untuk memimpin ahlinya ke syurga Allah SWT. Maka, jika rohani kita tidak stabil, mustahil kita mampu melaksanakan tanggungjawab itu. Pasangan kita tidak akan mampu kita pimpin dan bentuk, apatah lagi anak-anak yang akan terbiasa melihat kebiasaan kita, ingkar kepadaNya. Macam saya pernah kata dalam lembaran sebelum ini, mustahil kita mampu ‘berlakon’ sepanjang kehidupan. Justeru, kita mestilah berusaha mencapai ‘mampu’ dalam bahagian rohani juga. Mampu menjadi hamba yang baik di hadapan Allah SWT. Jika masa berkahwin baru nak jadi baik, bukan tidak boleh, tetapi takut-takut kala kita berusaha untuk berubah itu, keburukan kita yang belum kita mampu tinggalkan dilihat dan dicontohi ahli keluarga.
Dan, walaupun majlis kahwin boleh dilaksanakan dalam keadaan sederhana, namun kehidupan yang panjang tidak semudah itu. Kita ada pelbagai bil dan cukai untuk dibayar. Kita ada tuntutan kehidupan, barangan dapur, barangan rumah, perabot, kenderaan, tambang, yuran anak sekolah, barangan anak-anak, dan pelbagai lagi.
Jadi, jika kita tidak berusaha mencapai ‘mampu’ dalam bahagian material,  yakni mampu mempunyai kekuatan untuk menyara kehidupan, mampu untuk berbelanja dengan cermat dan mengawal wang keluar masuk, dan sebagainya, maka kita akan jatuh tersungkur dengan kekejaman dunia hari ini.
Justeru, pada hemat saya, bukan tidak boleh kahwin.
Tetapi lebih baik bersedia.
Kerana kita bukan hendak bermajlis kahwin sahaja.
Kita mahu melayari sebuah rumahtangga.

Proses Ini Panjang. Jadi Sebelum Bercinta Lagi, Fikirkan Ini Dahulu.
Saya sangat bersetuju dengan statement guru saya yang bernama Cikgu Azmi Bahari, apabila dia menyatakan bahawa perihal perkahwinan, cinta dan rumahtangga ini perlulah ditekankan semenjak tingkatan satu lagi. Agar, proses dalam mencapai kemampuan dari segi material, emosi dan rohani ini telah digerakkan semenjak itu lagi.
Kerana nyata, proses ini panjang. Membina kematangan emosi bukannya sehari dua. Membina kestabilan rohani bukannya seminggu dua. Membina kemampuan untuk material, menjaga material, mencari material, bukannya sebulan dua.
Ramainya antara remaja hari ini, hendak berkahwin baru sibuk menelaah dan mempersiapkan diri akan perkara ini. Akhirnya, semasa berumahtanggalah tunggang terbalik untuk ‘cover’ semula perkara yang belum dipersiapkan.
Ramai pula yang fokuskan mampu ini hanya kepada wang.
Tetapi hakikatnya kehidupan ini memerlukan lebih daripada itu.
Saya tertarik dengan firman Allah SWT:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”Surah An-Nur ayat 32.
Ayat ini, dikatakan – Kahwinkanlah. Jika miskin, Allah akan berikan kekayaan.
Tetapi ayat seterusnya, Allah SWT berfirman:
“Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya.” Surah An-Nur ayat 33.
Pada ayat ini, siapa yang tidak mampu pula, Allah suruh jaga kehormatan hingga Allah berikan kekayaan. Sedangkan, ayat sebelumnya, Allah berfirman bahawa, kahwinlah, jika miskin, nanti Allah akan cukupkan. Jadi, sekali pandang, kita lihat ayat ini bercanggah.
Tetapi apabila diteliti dengan lebih dalam, ayat pertama ditujukan kepada yang telah bersedia dan berusaha mempersiapkan diri untuk melangsungkan perkahwinan, tetapi mungkin ragu-ragu  dengan persediaan mereka itu, merasa tidak cukup(miskin) dengan apa yang mereka ada. Di situlah Allah SWT arahkan kahwin sahaja, Allah akan cukupkan.
Namun ayat seterusnya adalah untuk mereka yang benar-benar tidak mampu mengadakan majlis perkahwinan dan tidak punya kekuatan untuk meneruskan kehidupan rumahtangga. Allah arahkan agar bersabar menjaga kehormatan diri, hinggalah Allah berikan kemampuan. Yakni, diri itu perlu usaha lagi untuk dapatkan mampu itu.
Ya, jelas, Allah SWT menyatakan bahawa, manusia mahu tidak mahu, perlukan persediaan untuk mencapai mampu, sebelum berkahwin!
Jadi, mustahil perkahwinan ini, rumahtangga ini, diterjah dalam keadaan tanpa persediaan yang teliti dan terancang.

Israel Dan Perancangan Mereka.
Belajar pelajaran Aqidah dengan pensyarah saya, Dr Ala’ Hilat, dia ada menyebut perihal sistem kibutsats. Satu sistem perumahan/perkampungan orang Israel di perbatasan. Di mana ahli perumahan/perkampungan itu adalah terdiri daripada keluarga para tentera.
Mereka diprogramkan kehidupan mereka, dengan penuh terancang. Anak-anak yang lahir, dididik oleh nurseri khas dalam perumahan itu, yang dijalankan oleh orang-orang mereka sendiri. Kewangan pula, dijana daripada ladang dan kilang mereka sendiri. Bahkan, mereka semua mempunyai jadual makan dan latihan ketenteraan yang wajib diikuti semua ahli perumahan/perkampungan.
Anak-anak mereka, jika ingin berlibur, akan perlu mendapat kebenaran ketua perumahan/perkampungan. Jika mahu keluar dari kawasan mereka, mereka ini akan mendapat instruksi. Bukan boleh keluar semberono ke mana sahaja sesuka hati.
Silibus mata pelajaran anak-anak di sana juga adalah yang akan memberikan kelebihan kepada perjuangan Israel. Jika kita di Malaysia mengambil buah-buahan dan makanan sebagai contoh untuk kerja matematik. Mereka di sana mengambil contoh arab yang perlu dibunuh, masjid yang perlu diroboh, negara yang perlu ditawan, sebagai contoh kerja matematik.
Begitu sekali terancangnya mereka. Kerana mereka mempunyai matlamat yang jelas untuk membangunkan masyarakat mereka, bagi menumbangkan Islam dan menawan dunia.
Makanya, amatlah kelakar apabila kita ummat Islam, ingin berkuasa memerintah dunia, mengembalikan cahaya Allah SWT di atas muka bumi, tetapi tidak mempunyai perancangan dan persediaan yang baik. Mustahil akan tercapai kemenangan dengan keadaan sedemikian rupa.
Rumahtangga sebagai salah satu asas pembangunan ummah. Maka pastinya adalah amat perlu kita serius dalam mempersiapkan diri ke arahnya.
Bukan lenggang kangkung sahaja.
Amat menyedihkan bila remaja hari ini teruja untuk berkahwin awal, dengan mudah kemaruk bercinta, kemudian berkata: “Alah, Ayah dan Ibu aku kata diorang boleh tanggung aku dan isteri sementara kami masih belajar ini.”
Ya, bukannya haram.
Tetapi bagaimanakah sambil lewa sedemikian itu akan memberikan manfaat kepada ummat?
Kita gantungkan semua kepada Ibu Ayah.
Ya, Ibu Ayah kita mungkin kaya. Mereka boleh support duit.
Tetapi bagaimana emosi dan rohani?
Mereka boleh salurkan jugakah?

Penutup: Alah, Sampai Bila Pun Kita Tidak Akan Mampu.
Benar, sampai bila pun, memang kita akan sentiasa rasa kita tidak mampu. Kita sendiri pun tidak tahu bagaimana rupanya ‘mampu’ itu dalam erti kata yang sebenar. Saya sendiri tidak tahu.
Sebab itu yang saya tekankan adalah ‘berusaha ke arah mampu’.
Berusaha atau tidak?
Usaha itu sungguh-sungguh atau tidak?
Itu persoalannya.
Kebanyakan kita tidak berusaha pun ke arah mampu ini. Sambil lewa. Malas.
“Alah, nanti dah kahwinlah baru kisah benda-benda ini.”
Kita tidak tahu bahawa statistik penceraian hakikatnya sangat tinggi di Malaysia. Ini semua berpunca dari pelbagai faktor, dan antara yang terbesar adalah persediaan Rohani, Emosi dan Material ini.
Maka jangan dipandang enteng persediaan, usaha untuk mencapai mampu ini.
Sebab itu, sebelum bercinta lagi, ini yang sepatutnya ditekankan.
Ini yang sepatutnya diusahakan.
Kerana nyata, persediaan adalah ibu kepada sebuah kejayaan.

No comments:

Post a Comment