Tuesday, April 15

Ramadhan yang bakal menjelma.. Apa itu Puasa? Jom kita sama-sama baca :)

Cik Hani | 22:54 | 0Comments |

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kami menjadi orang yang bertakwa". Demikian maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183.

Takwa yang dimaksudkan dalam firman Allah di atas membawa erti - patuh atau taat setia seorang Islam dalam melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-larangan-Nya. Mereka yang bertakwa adalah orang yang beruntung, berjaya dan telah sampai kepada darjat yang tinggi dalam ibadatnya kepada Allah.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.

Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, ''Sebab kebanyakan manusia masuk ke syurga ialah kerana takwanya kepada Allah dan sebab kebaikan budi pekerti''.

Dengan memahami selok belok ibadat puasa ini diharapkan kita yang akan mengerjakan ibadat ini sampai ke tahap 'At-ttwa'. Barulah kita merasa puas dan sempurna akan apa yang kita telah kerjakan.

Tidakkah nanti terjadi seperti sabda Rasululah s.a.w yang maksudnya,"Berapa banyak orang yang berpuasa yang tidak dapat apa-apa dari puasanya, melainkan lapar dan dahaga semata-mata".
Puasa bererti menahan diri daripada makan minum atau bersetubuh atau apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa serta menahan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia, menimbulkan syahwat dan juga meninggalkan perkataan-perkataan yang diharamkan, menurutnya dari waktu fajar hingga terbenam matahari.

Puasa adalah latihan bagi membentuk ketahanan diri. Mereka yang sabar dan beriman sahajalah yang dapat melakukannya dengan sempurna dan beroleh balasan pahala yang amat besar. Kita tidak dapat gambaran apakah bentuknya ganjaran dari Allah.

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraannya -pertama, gembira ketika ia berbuka dan keduanya gembira ketika menemui Tuhannya nanti.

Puasa akan memeliharakan nafsu, penyakit dengki serta memelihara lidah dan segala anggota dari melakukan maksiat dan hati sentiasa terpelihara dari sebarang niat yang serong. Puasa yang dikerjakan berserta iman memungkinkan mencapai kepada keluhuran budi, bersifat sabar, tawakal, pemurah dan bersederhana rasa dan lain-lain sifat yang santun dan mulia.

Puasa sebenarnya melatih diri supaya bersifat sabar, kuat dan tahan menderita menghadapi segala cubaan, kesusahan dan kemurungan yang menimpa diri. Ia juga menguatkan iman kepada Allah, kerana keimanan kita kepada-Nya yang menyebabkan kita sanggup menahan diri dari keinginan syahwat-syahwat jantina dan syahwat tekak pada siang hari dalam masa kita berpuasa. Puasa juga dapat melatih diri menjadi orang yang muqarabin (hampir kepada Allah). Puasa dapat melatih diri menjadi seorang yang amanah.

Bagaimana tidak, walaupun kita sering bersendirian, jauh dari pemerhatian orang lain, namun kita tetap amanah dan meneruskan puasa kita kerana kita yakin Allah Maha melihat, kita amanah kepada puasa yang sedang kita lakukan dan ia dapat mendidik jiwa mentaati segala suruhan Allah.

Jenis-jenis puasa:

a) Puasa wajib
b) Puasa sunat
c) Puasa makruh
d) Puasa haram

Puasa-puasa wajib:

* Puasa pada bulan Ramadan
* Puasa qada - puasa qada ialah puasa yang wajib dikerjakan bagi menggantikan puasa kerana meninggalkan puasaa pada bulan Ramadan yang disebabkan sakit, musafir, kedatangan haid, nifas, bersalin dan sebagainya.
* Puasa kifarah - bagi seorang suami berkata kepada isterinya, belakang awak seperti belakang emak saya, atau seumpamanya.
* Puasa kifarah - kerana membunuh (manusia)
* Puasa kifarah - bagi orang yang bersetubuh pada siang hari dalam bulan Ramadan (selain dari mengqada sebanyak hari yang terbatal puasanya oleh persetubuhan ini mereka juga (pihak lelaki sahaja) diwajibkan membayar kifarat iaitu tiap-tiap sehari terbatal puasanya oleh persetubuhan itu dengan berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak kuasa wajib memberi sedekah kepada 60 orang miskin secupak (makanan asasi) seorang.
* Puasa bagi ganti 'dam haji Tamattuk' - bagi mereka yang menunaikan fardu haji.
* Puasa kifarah - kerana bersumpah.
* Puasa nazar - jika bernazar dan nazar kita telah diperkenankan oleh Allah maka nazar puasa ini wajib dikerjakan (dibayar) dengan segera. Jika ia mati sebelum sempat menunaikan nazar itu maka kewajipanlah walinya menunaikan nazar itu.

Rukun-rukun puasa wajib

1. Niat - 
hendaklah berniat puasa pada malamnya untuk puasa esok hari. Niat adalah gerakan hati, bukannya gerakan dua bibir. Niat ini perlu dilakukan pada setiap malam, waktunya, mulai jatuh matahari hingga sebelum terbit fajar. Segala apa jua amalan dikira mengikut niatnya, tanpa niat sesuatu amalan tidak sah.

Walau bagaimanapun, dikhuatiri sepanjang kita berpuasa sebulan Ramadan ini, berkemungkinan pada malam-malamnya kita terlupa berniat maka kita digalakkan berniat bagi sebulan Ramadan itu dengan meniatkan pada malam sebelum hari pertama berpuasa dengan niat. Aku berniat puasa esok hari dan hari-hari seterusnya sepanjang bulan Ramadan yang wajib atasku kerana Allah Taala.

2. Menahan diri dari makan, minum, bersetubuh dan muntah serta meninggalkan segala apa sahaja perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Puasa-puasa sunat:

Puasa-puasa sunat ialah puasa yang dikerjakan semata-mata mengharapkan balasan dan kesempurnaan Allah s.w.t. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun, kecuali pada hari-hari yang dilarang (haram) dan hari yang dimakruhkan berpuasa.

Selain berniat di waktu malam sebelum fajar, puasa-puasa sunat boleh juga diniatkan di waktu siang hari sebelum dilakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan masa niat pula dilakukan ialah sebelum gelincir matahari pada hari itu.

Antara puasa-puasa sunat:
* Puasa pada hari Isnin dan Khamis
* Puasa enam hari di bulan Syawal. Puasa ini boleh dilakukan sehari selepas Hari Raya puasa, ia boleh dilakukan pada bila-bila sepanjang bulan Syawal (lebih afdal dilakukan berturut-turut hari).
* Puasa pada hari putih - iaitu pada hari-hari 13, 14, dan 15 pada tiap-tiap bulan, (bulan Hijrah) - melainkan pada 13 Zulhijah (haram hukumnya).
* Puasa sehari dan berbuka sehari (berselang hari) atau dikenali puasa Daud.
* Puasa pada bulan Muharam
Andai menjadi keberatan puasa sebulan Muharam, dua hari dari bulan ini sunat berpuasa iaitu: Pada hari Tasu'a (hari kesembilan bulan Muharam) dan berpuasa pada hari Asyura (hari yang kesepuluh bulan Muharam).
* Puasa pada hari yang ke sembilan bulan Zulhijjah (bagi mereka yang tidak mengerjakan haji)

Puasa makruh

* Puasa sepanjang tahun
* Puasa pada hari Jumaat

Maksud berpuasa pada hari Jumaat itu ialah, sengaja berpuasa pada hari Jumaat, tetapi jika seseorang itu berpuasa berturut-turut dengan memula sehari sebelum hari Jumaat atau diteruskan berpuasa selepas hari Jumaat itu, maka hukumnya dibolehkan, ataupun seseorang itu mengamalkan sehari berpuasa, sehari berbuka (berselang hari) dan jatuh pada hari Jumaat maka itu juga dibolehkan.

* Puasa pada hari Sabtu yang tidak diikuti dengan hari yang lain atau juga tidak didahului sebelumnya.

* Puasa orang yang sangat tua

Puasa-puasa haram
Haram hukumnya mereka yang berpuasa pada hari-hari:

* Pada hari syak (hari yang disyaki hari pertama bulan Ramadan)

* Pada dua hari raya (1 Syawal dan 10 Zulhijah) 

* Pada hari tasyrik. Iaitu pada 11, 12, dan 13 (bulan Zulhijah).

* Puasa (puasa sunat) bagi isteri tanpa keizinan suami.

Berhubung dengan puasa yang wajib, seperti puasa bulan Ramadan, puasa qada dan puasa nazar, di sini isteri tak perlu mendapat izin suami. Suami yang menghalang isterinya untuk mengerjakan puasa wajib seperti di atas adalah berdosa dan menderhaka kepada Allah.

* Pada hari-hari selepas 15 haribulan Syaaban, jika bukan puasa qada atau nazar atau bukan hubungan dengan puasa hari yang sebelumnya, atau pula hari-hari yang kebiasaan seseorang itu berpuasa.

Amalan sunat semasa puasa

* Makan sahur serta mentakhirkannya.

* Segera berbuka dan sunat berbuka dengan buah tamar atau benda-benda yang manis atau air. Buah tamar adalah makanan yang terbaik dari segi agama dan kesihatan dan jika tiada buah tamar berbukalah dengan air kerana ia dapat menyegarkan badan.

* Berdoa setelah berbuka - Rasulullah s.a.w berdoa setelah berbuka dengan ucapan, mafhumnya, Wahai Tuhanku aku telah berpuasa untukmu dan aku telah berbuka dengan rezeki kurniaanmu.

* Mengkadakkan jamuan berbuka puasa - Menjamu orang-orang berbuka puasa adalah satu kebajikan.

Wajib imsak

Imsak bererti menahan diri dari makan dan minum mulai terbit fajar hingga terbenam matahari, seseorang Islam itu wajib berimsak (menahan diri) walaupun mereka tidak berpuasa ataupun puasanya telah terbatal oleh beberapa sebab.

Mereka yang wajib berimsak

* Orang yang masih menyangka hari berkenaan masih 30 Syaaban, kemudian disedari telah satu Ramadan.

* Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja.

* Orang yang tidak berniat pada malamnya dan tidak pula berniat puasa sebulan Ramadan.

* Orang yang berbuka kerana menyangka telah masuk waktu berbuka (Maghrib) rupa-rupanya masih siang.

Tidak wajib imsak

* Mereka yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.

* Kanak-kanak yang hampir baligh.

* Orang kafir ketika masuk Islam.

* Orang gila ketika sembuh.

* Orang yang sakit ketika sembuh.

Adab ketika berpuasa

Perkara-perkara di bawah adalah sangat dituntut kepada umat Islam seluruhnya apatah lagi di waktu mana kita sedang mengerjakan ibadat puasa, antara tuntutan itu ialah:

* Menanamkan rasa penuh harap, segala amalan kita mudah-mudahan diterima baik oleh Allah.

* Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan sahur.

* Mengelakkan diri apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa.

* Mengurangkan tidur di siang hari.

* Hendaklah kita selalu mengingatkan bencana dan balasan Allah di akhirat.

* Menjauhkan diri dari mengumpat, mencerca, mencela, mencaci, maki hamun, berbohong serta mencarut dan apa-apa sahaja perkataan yang kotor dan berbau busuk dan hina didengar telinga.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya, Sesungguhnya orang yang amat dicintai oleh Allah ialah orang yang senang bermesra dan senang dimesrai, dan sesungguhnya orang yang amat dibenci oleh Allah ialah yang suka menaburkan kata-kata nista dan suka memecah-belahkan antara sesama manusia.


"Hiduplah untuk memberi sebanyak- banyaknya bukan dengan menerima sebanyak- banyaknya."

***Semoga kita diberi kekuatan untuk sama-sama merebut fadhilat di bulan RAMADHAN . insyaAallah...*_*

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

***Sumber Dari : http://daawah.com/links/islampuasasedia.html

No comments:

Post a Comment