Thursday, April 3

Bertemu Untuk Berpisah

Cik Hani | 15:57 | 0Comments |
SETIAP pertemuan akan ada perpisahan, tetapi siapakah yang mahu berpisah? Mungkin ada yang ingin begitu atas sebab-sebab tertentu - mungkin kerana merasakan sudah tak mampu bertahan dalam sesuatu hubungan. Mungkin atas alasan kebahagiaan orang yang ditingalkan. Apapun alasan, yang pasti banyak orang mengatakan bahawa perpisahan itu menyakitkan!

Kita harus melihat, bahawa kita manusia ini hanya mampu merancang. Kita merancang yang terbaik untuk kita, tetapi siapakah yang lebih berkuasa dan lebih tahu menentukan yang terbaik untuk kita? Mata kita yang melihat kebaikan di sisi kita itu sebenarnya tidak benar-benar telus. Mungkin kebahagiaan di mata kita berlandaskan material, kecantikan paras rupa atau, apa-apa saja yang berbentuk keduniaan.

Jika takut menghadapi perpisahan, janganlah ciptakan pertemuan! Ini kenyataan bukan berlandaskan akal fikiran, kerana setiap daripada kita ada takdir masing-masing. Memang kita boleh berusaha mengelak sesuatu yang mungkin kita rasakan boleh mendatangkan impak kurang bagus untuk diri kita. Tetapi hakikat bahawa kalau takdir kita begitu, sejauh mana kita mengelak, ia akan berlaku jua. Apapun... kita boleh berusaha ke arah itu, insya-Allah.

Aku lebih suka andai berlaku perpisahan tetapi dengan perpisahan itu tak terjadi putusnya terus hubungan. Sakit, tetapi cuba mengembangkan hubungan seikhlasnya dengan menerima hakikat bahawa antara kita dengannya ditakdirkan begitu.

Sebagaimana ada orang yang 'membuang' segala kenangan dalam bentuk wujud benda semata-mata mahu melupakan seseorang yang putus hubungan dengannya. Buang segala gambar, buang segala pemberian - tetapi mampukah kita membuang kenangan yang melekat dalam memori? Nah, hanya dengan membuang otak dan perasaan kita akan mampu melakukannya.

Ada yang bertanya, bolehkah kekasih/mantan kekasih menjadi kawan? Jawapannya adalah, kenapa kita mampu menjadikan kawan sebagai kekasih kita? Bukankah sebelum menjadikan seseorang tu kekasih kita berkawan terlebih dahulu? Sebagaimana juga pasangan yang pernah berpisah tetapi rujuk kembali, boleh, bukan? Apapun segelanya atas diri kita dan bagaimana kita menghadapi sesuatu itu. Terserah... kerana aku faham, sakitnya kalian yang tanggung.

No comments:

Post a Comment